Sabtu, 1 Mac 2014

Waytha: Jadikan Kajang referendum pada BN

MALAYSIAKINI


Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia, P Waythamoorthy menggesa supaya pilihan raya kecil (PRK) Kajang dijadikan referendum terhadap sumbangan BN kepada masyarakat India.

Cadangan itu dibuat selepas Waythamoorthy dikecam bekas rakan-rakannya dari BN yang menolak dakwaannya bahawa parti pemerintah gagal membantu masyarakat India.

"Saya menggesa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bekerjasama dengan 'pasukan' mereka, MIC, dan kemukakan satu laporan lengkap mengenai apa yang kerajaan telah dilakukan untuk masyarakat India dalam tempoh 20 tahun yang lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Waythamoorthy berkata, Khairy dan Hishammuddin amat dialu-alukan bersama pasukan mereka untuk menemui 10 peratus pengundi India di Kajang berhubung perkara itu.

Perkara itu, katanya, jika kedua-dua menteri itu berani melakukan, akan memberi mereka kayu pengukur mengenai apa yang telah mereka dan pasukan mereka buat untuk masyarakat tersebut.

Khairy dan Hishammuddin telah mengecam Wayhtamoorthy kerana menyerang BN selepas meletak jawatan dalam kerajaan dan menuduhnya tidak boleh bekerjasama dalam satu pasukan ketika menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tiada ulasan: