Sabtu, 1 Mac 2014

Tan Sri Dato’ Setia Ismail Adam dilantik semula Pro-Canselor UNISEL

SELANGORKINI


SHAH ALAM : Berkuatkuasa 8 Mac ini, Tan Sri Dato’ Setia Ismail Adam disambung perlantikan semula sebagai Pro-Canselor Universiti Selangor (UNISEL).

Beliau telah memikul amanah besar sebagai Pro-Canselor UNISEL semenjak tahun 2011 dan majlis pada hari ini merupakan penyambungan perlantikan kali kedua buat beliau selama tiga tahun lagi sehingga 7 Mac 2017.

MB UNISEL


Ketua Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan, berkata Tan Sri Dato’ Setia Ismail Adam adalah mantan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia.

Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan sumber manusia dan dasar-dasar kerajaan di pelbagai jabatan dan Kementerian.

“Berbekal pengetahuan dan pengalaman beliau dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran negara, Tan Sri Ismail mampu membantu peneraju kepemimpinan UNISEL meningkatkan fungsi universiti sebagai hab ilmuan yang berwibawa baik di Selangor mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Watikah perlantikan diserahkan sendiri oleh YAD Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj, Canselor UNISEL dan disaksikan oleh YBhg Dato’ Setia Dr. Anuar Masduki, Pro-Canselor UNISEL, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UNISEL serta Prof Dr Anuar Ahmad, Presiden dan Naib Canselor UNISEL.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Hajah Halimah Ali, Selangor yang juga Ahli Lembaga Pengarah UNISEL, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah serta seluruh pengurusan tertinggi universiti.

Prof Dr. Anuar Ahmad dalam aluannya, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Canselor serta Pro-Canselor yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada beliau dalam menterjemah pengurusan pendidikan yang berkualiti selama ini.

Ucapan jutaan terima kasih juga kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah kerana telah memberi kepercayaan penuh kepada beliau untuk terus meneraju, mendidik serta membimbing para pelajar di UNISEL.

Menurut beliau lagi, UNISEL mengambil pendekatan serampang dua mata – melantik, melatih, memantap dan mengembangkan keupayaan pensyarah muda dari jawatan tutor sehinggalah menjadi sarjana dan profesor yang terkemuka.

Strategi tersebut diperlukan untuk membolehkan UNISEL mencapai sasaran dan kpi tahunan yang telah ditetapkan.

Manakala Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya hari ini berharap agar Ahli akademik melakukan rejuvenasi budaya akademia sebenar, menjadi penggerak minda dan pemangkin perkembangan teknologi Negara.

Beliau tidak mahu UNISEL mempunyai ahli akademik yang jumud yang hanya mengguna pakai maklumat dalam buku-buku teks wajib atau karya sarjana tertentu sahaja.

Tambah beliau lagi tidak mustahil UNISEL mampu muncul sebagai universiti tersohor dan “sentiasa ingin didatangi oleh bakal-bakal siswazah” dari pelbagai pelosok negara dan rantau, hasil gandingan mantap dan berintegriti daripada kumpulan pengurusan, kumpulan pengajar dan pelajar serta warga kerja lain di UNISEL.

Bagi tujuan itu, “Kerajaan Negeri telah menyediakan kemudahan, antaranya bantuan kewangan kepada penjawat awam termasuk kumpulan pensyarah dan ahli keluarga yang berhasrat melanjutkan pengajian.

Bagi tahun 2014 ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi tujuan tersebut”.
Dalam majlis yang sama, kesemua tetamu kehormat yang hadir telah berkesempatan hadir melawat ke tapak pameran yang telah disediakan.

Pameran adalah bertujuan memberi penerangan secara ringkas kepada tetamu kehormat segala keupayaan Fakulti/ Pusat yang terdapat di UNISEL kampus Shah Alam serta kecemerlangan yang telah diperoleh selama ini.

Majlis berlangsung secara sederhana tetapi mencapai objektifnya sebagai pelengkap kepada satu lagi catatan sejarah penting dan terpahat dalam lembaran sejarah pendidikan untuk dikenang selama-lamanya.

Ucapan jutaan tahniah dan syabas juga kepada YBhg Tan Sri Dato’ Setia Ismail Adam kerana sudi menerima perlantikan semula sebagai Pro-Canselor UNISEL.

Semoga UNISEL akan lebih mampan dan menjadi sebuah universiti tersohor baik dari segi kualiti graduan terhasil mahupun perkhidmatan yang disediakan.EZY

Tiada ulasan: