Rabu, 5 Mac 2014

Projek Lebuh Raya Rakyat siap tempoh tiga tahun

 
ASLANI M 


KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjangka mengumumkan nama syarikat yang berjaya memenangi kontrak pembinaan lebuh raya Machang-Kuala Krai pada 23 Jun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, sehingga 10 Febuari lalu sebanyak lapan syarikat telah membeli dokumen tender.

Tarikh tutup tender projet tersebut pada 24 Mac ini. Ketika sesi taklimat pra-tender dan lawatan ke tapak, sebanyak 29 syarikat menyertainya.

“Kerajaan negeri telah melantik konsultan pada 27 November lepas bagi membuat rekabentuk lebuh raya Machang-Kuala Krai dan penyediaan dokumen tender,” katanya menjawab soalan penyokong kerajaan dan pembangkang pada persidangan Dun hari ini.

Semalam ketika bertitah merasmikan pembukaan persidangan Dun tersebut Sultan Muhammad V mahu projek pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dapat disiapkan segera demi kepentingan rakyat.

Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dirancang kerajaan pusat sejak RMK-5, bagaimanapun tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.

Berikutan itu kerajaan negeri merancang membina sendiri lebuh raya berkenaan sejauh 73 km menggunakan dana wakaf. Sejak dilancar pada 2012 hampir RM3 juta disumbang orang ramai.

Tahun lepas kerajaan pusat turut mengeluarkan tender bagi membina pakej Kota Bharu-Kadok sejauh 7 km membabitkan kos hampir RM170 juta.

Hanifa juga berkata, sebanyak 380 lot tanah yang dimiliki 786 pemilik dengan keluasan 480 ekar terlibat dengan jajaran lebuh raya tersebut.

“Pengambilan tanah terbabit akan dibuat di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah yang dijangka diwarta tidak lama lagi,” katanya.

Hanifa juga berkata, Kelantan berhasrat mengadakan kerjasama dengan kerajaan pusat bagi menjayakan projek terbabit.

“Kerajaan negeri mendapat jaminan jajaran jalan tersebut akan bertemu di satu titik di Machang memandangkan konsultan dilantik Kelantan dan pusat adalah syarikat sama,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu persidangan Dun, kerajaan negeri mensyaratkan syarikat yang terbabit dengan pembinaan lebuh raya tersebut perlu menyiapkan pembinaan dalam tempoh tiga hingga tiga setengah tahun.

Kata beliau pembayaran dibuat kepada syarikat secara tertangguh di mana bayaran pertama sebanyak RM50 juta dijangka pada Januari 2018 apabila projek terbabit diserah kepada kerajaan.

Manakala bayaran seterusnya sebanyak RM50 juta akan dibuat secara tertangguh dalam tempoh enam tahun.

“Sumber pembalakan dan perlombongan akan digunakan bagi membayar kos projek lebuh raya Machang-Kuala Krai,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan sebuah NGO dipercayai ada hubungan dengan Umno Kelantan turut menyerah memorandum kepada kerajaan negeri ketika persidangan tersebut berhenti rehat.

Memorandum itu diserah Pengerusi Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Tukar), Kamaruddin Kassim kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusoff.

Memorandum yang dinamakan “Dokumen Kuning Catatan Rakyat: Lebuhraya Rakyat” menyentuh mengenai projek Lebuh Raya Rakyat.

Tiada ulasan: