Ahad, 30 Mac 2014

PAS Selangor tetap beri 'saingan' kepada PKR jika jawatan MB kosong - Mohd Khairuddin

Post Pic
Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: PAS Selangor tetap akan 'bersaing' bagi mengisi jawatan Menteri Besar sekiranya PKR bertindak menggugurkan penyandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk merombak kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu.
 
Bagaimanapun Setiausaha PAS negeri Mohd Khairuddin Othman mengesahkan perkara itu di sebalik spekulasi yang terus membara mengenai jawatan MB susulan pilihan raya kecil Kajang. 
 
"Ya, itu berlaku kalau ada kekosongan (jawatan Menteri Besar).
 
"Jadi setakat ini sudah tiada apa-apa isu lagi," katanya kepada Antarapos.
 
Tambah beliau, pertukaran jawatan Menteri Besar kemungkinan besar tidak berlaku selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang baru Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dikatakan menolak hasrat PKR itu.
 
Desas-desus perubahan pemimpin utama kerajaan negeri hangat diperkatakan selepas Wan Azizah yang juga Presiden PKR memenangi kerusi DUN Kajang menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fen dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 23 Mac.
 
"Sebab rasanya sebelum ini Datin Seri Wan Azizah ada buat kenyataan tidak akan ganti Menteri Besar.
 
"Jadi kita pun tidak ada apa-apa yang baru setakat ini, kita kekal pada yang ada," tambah Mohd Khairuddin mengulas hasrat PKR itu bagi merealisasikan agenda 'Langkah Kajang' (Kajang Move).
 
Sebelum ini Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan diadakan perbincangan mengenai kedudukan Wan Azizah sebagai Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid yang telah memegang jawatan itu sejak 2008.
 
Untuk rekod, di peringkat awal PKR menamakan Anwar sebagai calon untuk bertanding di kerusi DUN Kajang dengan tujuan Ahli Parlimen Permatang Pauh menggantikan Abdul Khalid sekiranya menang dalam pilihan raya kecil kawasan itu.
 
Namun keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana didapati bersalah dalam kes liwat, memperlihatkan beliau kelayakan bertanding.
 
PKR kemudian menamakan Wan Azizah sebagai calon pengganti beberapa hari sebelum hari penamaan calon DUN Kajang untuk bertanding dan mempertahankan kerusi itu yang diwakili parti itu sejak 2008.
 
PAS tunggu perkembangan terbaru PKR 
 
Menurut Mohd Khairuddin lagi, PAS Seangor tidak membuat sebarang pertemuan atau perbincangan mengenai perkara itu kerana mahu menunggu perkembangan daripada PKR terlebih dahulu.
 
"Tak ada, tak ada...setakat ini tiada lagi apa perbincangan.
 
"Dalam mesyuarat kita pun tak dibangkitkan, tiada siapa yang bangkitkan lagi isu itu.
 
"Kita tunggulah daripada komponen tapi setakat ini tidak ada apa-apa lagilah," katanya.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras ini bagaimanapun menerima baik kehadiran Wan Azizah sebagai wakil rakyat negeri itu sambil menyifatkan ia memberi nilai tambah kepada kekuatan Pakatan.
 
"Memang saya nampak kemasukan presiden PKR sebagai ADUN di Selangor akan memberi nilai tambah kepada kekuatan kita di sini.
 
"Kita nampak presiden PKR boleh memainkan peranan untuk mengukuhkan lagi Selangor," katanya.
 
Ujar Mohd Khairuddin lagi, sebarang perkembangan mengenai masa depan negeri itu serta kedudukan Menteri Besar kemungkinan berlaku selepas Wan Azizah mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang tidak lama lagi.
 
"...yang lain kita tunggulah beliau (Wan Azizah) angkat sumpah.
 
"Saya harap beliau boleh membantu kekuatan Menteri Besarlah, maknanya presiden PKR ini boleh memperbetulkan apa-apa kelemahan di Selangor sebab ada banyak isu di sini.
 
"Saya harap kemasukan beliau boleh menyelesaikan banyak perkara di Selangor," katanya.
 
Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan secara mengejut pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan dilantik sebagai Menteri Besar.
 
Namun hasrat PKR untuk melantik Anwar sebagai Menteri Besar pada peringkat awal mendapat maklum balas negatif daripada PAS yang tidak bersetuju selain bersedia menamakan wakil parti itu bagi mengisi jawatan tersebut jika berlaku peralihan kuasa.

Tiada ulasan: