Sabtu, 1 Mac 2014

Nilai BR1M tidak cukup, kerajaan wajib salur lebih banyak, kata Azhar Idrus

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Penceramah popular Azhar Idrus (gambar) menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kerajaan persekutuan tidak setimpal dengan apa yang sepatutnya diterima.

Beliau berkata, menjadi kewajipan kerajaan memberi keselesaan kepada rakyat yang memerlukan dan tidak tertumpu kepada pemberian BR1M semata-mata.

“Harta kekayaan Malaysia mesti dapat sama rata. Ia jadi kewajipan kerajaan memberi keselesaan kepada rakyat Malaysia, bukan hanya beri BR1M semata-mata.

“Kita (rakyat) dikenakan pelbagai jenis bayaran seperti cukai jalan, cukai kereta, beribu-ribu rakyat bayar, tetapi kerajaan bagi balik kira-kira RM600 sahaja. Betul ke cara macam itu?” katanya dipetik Sinar Harian.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan pada BR1M 3.0 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 22 Februari akan diagihkan dalam tempoh 20 hari.

Beliau berkata bayaran akan terus dimasukkan ke dalam akaun bank penerima secara serentak di seluruh negara selepas pelancaran itu.

Katanya, langkah itu bagi memastikan penerima BR1M tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan tersebut seperti sebelum ini manakala bagi yang tidak mempunyai akaun bank pula, mereka akan menerima baucer secara berperingkat bermula 23 Februari.

Nilai bantuan di bawah BR1M 3.0 ditambah daripada RM500 kepada RM650 bagi kategori isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, manakala RM450 bagi kategori berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000.

Warga emas sebatang kara berumur 60 tahun menerima kenaikan RM100, menjadikan jumlah bantuan RM650, manakala bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan RM2,000 dan ke bawah diberi penambahan RM50, menjadikan bantuan kepada RM300.

BR1M 3.0 turut memperkenalkan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) dengan nilai perlindungan maksimum sehingga RM30,000 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya akibat kemalangan.

Tiada ulasan: