Kerajaan Selangor tidak akan bayar lebih Abdul Khalid (kanan) bertukar dokumen dengan Ahmad di Kota Bharu, semalam.


KAJANG -  Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan tawaran harga pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) pengambilalihan ekuiti empat konsesi air sebanyak RM9.65 bilion tidak akan dinaikkan demi kepentingan hak rakyat.

Abdul Khalid berkata, beliau akan ke mahkamah sekiranya syarikat konsesi mahu meminta bayaran tambahan.

“Saya akan lawan kalau mereka nak harga lebih. Saya akan mulakan dengan RM5 juta bukan RM9 juta. Syarikat konsesi boleh minta berapa ratus juta pun, tapi saya jamin ia tidak akan naik.

"Tapi kalau mahkamah suruh bayar kurang daripada RM9.65 juta, saya terpaksa bayar RM9.65 juta sebab itu kita dah janji. Ini jaminan saya.

“Rakyat Selangor tak nak bayar lebih. Kalau ada Ahli Parlimen nak bayar lebih, biar dia bayar. Kita tak nak bayar lebih. Jadi jangan cakap tawaran itu akan naik,” katanya selepas Perhimpunan Perdana Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dan Anugerah Komuniti Bestari ‘K-Star Pangsapuri Selangor 2013, semalam.

Sebelum ini, pemeteraian MoU penstrukturan semula industri air di Selangor masih tidak disenangi pemimpin PR meskipun telah diberikan penerangan oleh Abdul Khalid.

Mereka mempertikaikan tawaran harga RM9.65 juta yang mungkin boleh melonjak kepada RM14 juta sebab klausa timbang tara antarabangsa membolehkan syarikat konsesi meminta bayaran tambahan.

Abdul Khalid menyatakan ada kalanya penerangan dan perbincangan dalaman boleh mendatangkan impak negatif.

“Itu sebab kadang-kadang kita tak nak adakan perbincangan. Isu harga tawaran bakal dinaikkan seolah-olah membantu syarikat konsesi untuk dapat duit lebih.

"Saya sudah janji dengan rakyat, kita hanya akan bayar RM9.65 juta dan sekiranya syarikat konsesi tuntut lebih, perkara ini akan dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau turut menyindir sikap segelintir pimpinan PR yang mendedahkan hasil maklumat dalaman kepada umum.

Mengulas mengenai saham air, Abdul Khalid menjelaskan, prospektus jualan saham hanya akan diumumkan enam bulan atau setahun selepas penyusunan semula industri air ini dilaksanakan.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Abdul Khalid mengumumkan akan mendedahkan maklumat perjanjian Projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2).

Katanya, ia susulan Selangor sudah mempunyai enakmen kebebasan maklumat yang membolehkan rakyat mengakses maklumat itu.

“Selangor sudah buat undang-undang kebebasan maklumat. Apabila undang-undang itu ada dalam masa terdekat, orang akan datang tengok dokumen dan dokumen itu akan disebarkan,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), serta Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan MBI Selangor di JKR 10 bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.