Jumaat, 28 Mac 2014

Halang masuk Sarawak: Tindakan terdesak pemimpin BN, kata ketua wanita PKR

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Zuraida Kamarudin berkata tindakan menghalang pemimpin PKR daripada memasuki Sarawak hanya menunjukkan imej Barisan Nasional (BN) yang menafikan hak rakyat untuk bebas ke mana sahaja selagi berada dalam Malaysia. – Gambar fail.  
Zuraida Kamarudin berkata tindakan menghalang pemimpin PKR daripada memasuki Sarawak hanya menunjukkan imej Barisan Nasional (BN) yang menafikan hak rakyat untuk bebas ke mana sahaja selagi berada dalam Malaysia. – Gambar fail.



PKR hari ini mengutuk tindakan kerajaan negeri Sarawak yang menghalang beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) daripada memasuki negeri itu sebagai satu simbol penafian hak demokrasi.

Ketua wanitanya, Zuraida Kamarudin berkata tindakan kerajaan negeri itu hanya menunjukkan imej Barisan Nasional (BN) yang menafikan hak rakyat untuk bebas ke mana sahaja selagi berada dalam Malaysia.

"Ini satu tindakan terdesak BN di Sarawak kerana mereka takut kepada pemimpin PKR untuk berkempen dan mengekang rakyat bergerak secara bebas dalam negara demokrasi.

"Ini hak kita. Mengapa mereka menafikan hak ini? Mereka menggunakan kuasa negeri yang tidak bertempat. Perbuatan ini memberi kesan kepada keputusan pilihan raya nanti," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Semalam, Zuraida dihalang memasuki Sarawak sebaik tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 2.30 petang dan diminta meninggalkan negeri itu pada petang hari yang sama.

Perintah tersebut dikeluarkan selaras Seksyen 65 (1) (a) Akta Imigresen 1959 yang mengarahkan tiada pas dikeluarkan kepadanya untuk memasuki Sarawak

Tiada ulasan: