Rabu, 5 Mac 2014

Empat Adun DAP Keluar Dewan Dibidas

MSTAR ONLINE


MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris menyatakan rasa kecewa dengan tindakan empat wakil rakyat DAP keluar dewan dan menyifatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan kepada rakyat.

"Mereka (pembangkang DAP) mengemukakan pelbagai tuduhan kepada saya dan kerajaan negeri, tetapi bila saya berdiri di sini untuk menggulung dan menjawab segala tuduhan itu mereka semua keluar tidak mahu dengar.

"Mereka kata rakyat nak tahu itu ini tetapi bila nak dijawab mereka keluar dewan," katanya semasa menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-13 pada Rabu.

Idris menyarankan pembangkang melantik segera ketua pembangkang DUN Melaka kerana pembangkang negeri itu dilihat bercelaru tanpa ketua setelah Goh Leong San (DAP-Duyong) meletakkan jawatan pada Oktober tahun lepas.

Ketua Menteri berkata DUN Melaka memerlukan sebuah pasukan pembangkang berkesan untuk berfungsi dengan baik.

Terdahulu empat wakil rakyat DAP berkenaan bertindak keluar dewan bagi membantah keputusan Speaker DUN Datuk Othman Muhamad tidak membenarkan seorang daripada mereka Chin Choong Seong (DAP-Kesidang) membahaskan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalid Yaakob.

Tiga lagi ialah Goh Leong San (DAP-Duyong), Lim Jak Wong (DAP-Bachang) dan Tey Kok Kiew (DAP-Bandar Hilir).

Bagaimanapun tindakan itu tidak disertai seorang lagi wakil rakyat pembangkang Dr Md Khalid Kassim (PAS-Bukit Baru) dan untuk rekod ini kali kedua beliau berbuat demikian setelah kali pertama pada persidangan DUN September tahun lepas.

Othman sebelum itu memberikan peluang kepada enam wakil pembangkang dan empat wakil Barisan Nasional untuk membahaskan usul itu, namun tidak membenarkan Chin membahaskan ucapan itu atas faktor masa dan Chin akan berucap pada sesi penangguhan pada Khamis.

Terdahulu, Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) diarah keluar dewan oleh Othman kerana tetap meneruskan perbahasan walaupun masa diberikan kepadanya telah tamat dengan Khoo melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Idris serta meminta Othman meletak jawatan sebagai speaker.

Persidangan bersambung Khamis. BERNAMA

Tiada ulasan: