Isnin, 31 Mac 2014

DAP: Tak perlu tunggu jumpa kotak hitam

MALAYSIAKINI


 


Penasihat DAP Lim Kit Siang mendesak kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen (PSC) untuk membincangkan isu berhubung kemalangan pesawat MH370 dengan segera tanpa menunggu kotak hitam pesawat itu ditemui.

Lim berkata, kotak hitam itu berkemungkinan besar akan kehabisan bekalan kuasa pada 7 April ini dan berkemungkinan besar akan menangguh usaha menyelamat dan melambatkan siasatan yang perlu daripada berjalan.

"Bukan kehendak negara kita untuk menangguhkan penyiasatan dan melewatkan jawapan kepada seribu satu persoalan yang timbul sepanjang tiga minggu ini," kata Lim dalam kenyataanya.

Orang awam bukan hanya mahu mengetahui "apa, bagaimana dan kenapa" yang menyelubungi kehilangan penerbangan MH370 pada 8 Mac itu, tetapi juga persoalan berkenaan usaha mencari dan menyelamat, katanya.

Tambahnya. Parlimen perlu bersedia dengan siasat dari Parlimen pelbagai negara memandangkan ia melibatkan banyak negara berkepentingan.

"Saya dengan itu menggesa semua MP tidak kira dari parti politik atau pakatan supaya menyedari bahawa usaha mencapai kesepakatan Parlimen untuk mengadakan PSC bukan saja tanggungjawab negara tetapi antarabangsa, tidak kira sama ada kotak hitam ditemui atau tidak," kata beliau.

Beliau menambah bahawa PSC sepatutnya ditubuhkan tidak lebih dari tempoh enam minggu selepas kehilangan MH370 dan diketuai ahli parlimen pembangkang.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein memberitahu Dewan Rakyat beliau bersetuju dengan cadangan pembangkang untuk mengadakan PSC tetapi keputusan akhir di tangan kabinet.

Sehingga kini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih tidak memberi kenyataan sama ada bersetuju dengan cadangan tersebut.

Tiada ulasan: