Selasa, 18 Mac 2014

DAP selar kenyataan perkauman ‘Menteri Perpaduan Nasional’


Kulasegaran



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran mengkritik kenyataan perkauman oleh Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup yang menyeru pengundi Cina di Kajang memilih Chew Mei Fun, hanya kerana Chew berbangsa Cina.

Lebih memalukan, Kurup adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan nasional.

Isu itu dibangkitkan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat petang tadi.

Kulasegaran berkata, kenyataan itu menunjukkan taraf kerajaan Umno BN yang memiliki menteri yang tidak faham tugas dan tanggungjawabya.

“Macam mana beliau boleh buat kenyataan seperti itu? Kalau orang lain, itu hanya menunjukkan mereka kurang ‘standard’.

“Tapi beliau adalah menteri yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan nasional. Ini tunjukkan taraf (kerajaan), ada menteri tak tahu tanggungjawabnya,” katanya.

Justeru, beliau memohon Kurup yang turut berada di Parlimen hari ini untuk memberi penjelasan.

Namun, Kurup menolak permintaan Kulasegaran dengan alasan, beliau akan memberikan jawapan ketika tiba giliran beliau untuk berbahas.

Dalam satu acara di Sungai Chua, Kajang semalam, Kurup menggesa hadirin yang kebanyakannya masyarakat Cina untuk mengundi calon MCA, Chew Mei Fun dengan berkata, “undilah calon BN yang merupakan orang kamu sendiri”. – Roketkini.com

Tiada ulasan: