Isnin, 24 Februari 2014

MB: Isu pemilihan Ahli Majlis PBT selesai Mac ini

Oleh: Norhayati Umor


SHAH ALAM : Isu pemilihan semula ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan dijangka selesai pertengahan Mac depan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata perlantikan semula ahli majlis itu membabitkan dari PKR sahaja manakala bagi PAS dan DAP sudah selesai.

Abdul Khalid“Ini hanya PKR. Kita minta PKR memberikan nama-nama cadangan untuk dilantik bagi menambah ahli majlis.

“Setakat ini, dalam senarai PKR, jumlahnya seramai 120 orang, seramai 80 orang sahaja yang sudah selesai manakala 40 orang lagi masih dicadangkan” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas merasmikan perhimpunan bulanan, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu 42 ahli majlis tidak dilantik semula pada penggal baru ini.

Abdul Khalid berkata pihaknya sudah meminta PKR untuk menyenaraikan nama yang sesuai dan berkelayakan menjadi ahli majlis.

Semalam, Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail berkata Kerajaan Negeri membuat perlantikan semula ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdasarkan kelayakan pendidikan dan kesimbangan penyertaan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan wanita.

Untuk rekod, PKR mengemukakan 120 nama (ahli PKR) untuk dilantik menjadi ahli majlis.

Sementara Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad mengemukakan 67 nama (ahli PAS) dan Datuk Teng Chang Kim mengemukakan 92 nama (ahli DAP) untuk tujuan yang sama.
Seramai sembilan Orang Besar Daerah turut dilantik untuk jawatan itu. EZY

Tiada ulasan: