Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim


STATISTIK Jabatan Insolvensi Malaysia terkini menunjukkan bahawa semenjak bulan Januari hingga September 2013, seramai 16,306 orang telah diisytiharkan muflis atau purata 1,812 orang setiap bulan.

Pada tempoh yang sama juga, sebanyak 27,432 petisyen kebankrapan telah difailkan di mahkamah. Statistik selebihnya, iaitu untuk Oktober hingga Disember 2013 bakal dikeluarkan pihak Jabatan sekitar bulan Mac 2014 nanti.

Pada tahun 2012, sejumlah 19,575 orang telah diisytiharkan muflis atau purata sebanyak 1,631 orang telah muflis setiap bulan sepanjang 2012.

Jelas, kadar purata bilangan muflis bulanan pada Januari hingga September 2013 sebanyak 1,812 adalah 11 peratus lebih tinggi berbanding kadar purata bulanan 2012 sebanyak 1,631.

Sekiranya data untuk keseluruhan 2013 dikeluarkan nanti, saya menjangkakan bahawa lebih daripada 20,000 kes muflis akan dilaporkan untuk 2013 akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kesan daripada pengurangan subsidi.

Fenomena muflis ini bukan sahaja tertumpu kepada Semenanjung Malaysia, bahkan telah menular ke seluruh negara, terutama sekali di kawasan bandar.

Merujuk kepada kenyataan akhbar (Utusan Malaysia 2 Disember 2014), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri; Kuching, Miri dan Sibu, masing-masing telah mencatatkan sebanyak 6,925 , 4,058 dan 2,557 kes-kes muflis.

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia untuk 2012 juga menyebut bahawa daripada jumlah muflis tersebut, 48.4 peratus adalah berbangsa Melayu, 33.2 peratus Cina dan 14.1 peratus India.

Mengejutkan juga bahawa sebanyak 4,100 (21 peratus) adalah berumur di bawah 34 tahun.

Antara penyebab utama muflis yang dilaporkan adalah kegagalan membayar pinjaman kenderaan, perumahan dan kad kredit.

Angka Bank Negara juga menyatakan bahawa pada tahun 2013, bank-bank di Malaysia telah mencatatkan jumlah tertinggi (semenjak 2006) untuk pinjaman peribadi dan kad kredit iaitu pada jumlah RM 139 billion berbanding RM 124 billion (2012) dan RM 67 billion (2006).

Boleh dirumuskan bahawa rakyat terbanyak, terutama sekali bangsa Melayu, sedang berhadapan dengan kesempitan kewangan akibat kadar kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan.

Akibatnya, rakyat terpaksa menampung perbelanjaan harian samada melalui penambahan pinjaman peribadi ataupun kad kredit yang akhirnya mendedahkan mereka kepada risiko untuk menjadi muflis kerana terdedah kepada kadar faedah yang tinggi.

Penambahan pinjaman sebegini adalah disebakan oleh penyusutan pendapatan lebihan akibat kenaikan kos sara hidup dan bukannya semata-mata disebabkan oleh kegagalan rakyat menguruskan kewangan peribadi.


TUJUH KEUTAMAAN SETEMPAT KAJANG YANG BAKAL DIBERI PERHATIAN KHUSUS

Saya berpeluang mendekati penduduk di Kajang sejak beberapa minggu lalu untuk mendengar sendiri masalah dan harapan mereka.

PKR juga telah membuat satu kajiselidik dengan pengundi berdaftar di Kajang untuk mengenalpasti isu-isu setempat yang wajar mendapat pembelaan.

Saya berpuashati bila mana maklumbalas yang saya dapati semasa bersua muka dengan penduduk disahkan oleh kajiselidik yang dijalankan.

Dapatan utama dari pengalaman saya berinteraksi dengan penduduk menunjukkan bahawa tiga perkara utama yang memerlukan perhatian segera di Kajang adalah soal keselamatan penduduk akibat jenayah yang makin meningkat, masalah kesesakan trafik dan soal kebersihan setempat serta kesihatan.

Ini bertepatan dengan kajiselidik yang menyenaraikan keutamaan isu-isu setempat seperti berikut (% menunjukkan jumlah responden yang bersetuju ia isu yang paling utama untuk diberi perhatian):

1. Keselamatan dan jenayah – 42%

2. Kesesakan trafik – 38%

3. Pengurusan sampah dan kebersihan – 30%

4. Masalah sosial – 20%

5. Bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah – 16%

6. Pengurusan gerai penjaja dan peniaga kecil – 12%

7. Perkhidmatan Majlis Perbandaran Kajang – 11%

Saya akan terus mendekati penduduk Kajang untuk berbincang mengenai harapan dan kaedah yang boleh digunakan untuk menyelesaikan isu setempat ini.

Saya yakin bahawa jalan yang terbaik ialah dengan melibatkan masyarakat setempat dengan memberdayakan mereka menguruskan hal ehwal masyarakat setempat.

Saya juga telah berbincang dengan Institut Rakyat supaya satu kajian perbandingan khusus dibuat serta merta untuk mengkaji amalan terbaik yang digunapakai di tempat-tempat lain dalam menangani beberapa masalah yang perlu diberikan keutamaan di Kajang.

Hasil dari kajian itu akan dibentangkan dan dibincangkan bersama penduduk supaya kita dapat menggembleng tenaga semua pihak untuk menjadikan Kajang selamat, bersih dan lancar.

Sudah tentu isu-isu nasional yang mendesak seperti kenaikan harga barang, peluang pekerjaan, perumahan yang diluar kemampuan rakyat dan gaji yang tidak meningkat memerlukan pembelaan berterusan.

Saya berharap usaha yang berterusan untuk menyelesaikan tujuh keutamaan setempat yang saya gariskan akan melonjakkan Kajang sebagai salah sebuah bandar satelit terbaik di negara ini.