Selasa, 25 Februari 2014

Fitnah AKSB: Presiden MTRK diarah bayar RM50,000

ASLANI M


KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini memerintah Presiden Majlis Tindakan rakyat Kelantan (MTRK), Che Azmi Mohd Ali membayar gantirugi sebanyak RM50,000 kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Hakim Datuk Azman Abdullah dalam penghakiman memberitahu Che Azmi tanpa usul periksa telah membuat suatu kenyataan media yang merosakkan reputasi AKSB.

Hakim menjelaskan defendan tidak mengetahui fakta sebenar kerana menganggap pinjaman RM600 juta dilulus kerajaan Persekutuan boleh digunakan serta-merta.

Sedangkan katanya, pinjaman itu dilulus secara berperingkat dan segala bayaran kepada kontraktor perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Sebelum ini Che Azmi yang juga adik kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap AKSB dengan menuduh melakukan salah urus dan menyeleweng pinjaman RM600 juta kerajaan Persekutuan.

Kenyataan tersebut disiarkan kebanyakan media arus perdana sehingga memberi gambaran yang buruk terhadap AKSB.

Ekoran itu AKSB mengemukakan saman dan menuntut gantirugi sebanyak RM1 juta terhadap Che Azmi. Turut dinamakan sebagai defendan, akhbar The Star.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi ketika ditemui berkata, hakim juga menolak dakwaan Che Azmi di mana AKSB menghabiskan belanja sebanyak RM12 juta kerana menukar 80,000 unit “smart meter” memandangkan kos itu ditanggung kontraktor pembekal.

“Selain gantirugi kewangan, Che Azmi turut diperintah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada AKSB dan menyiarkannya di satu muka surat penuh akhbar The Star.

“Beliau juga dikenakan injunksi kekal iaitu tidak boleh lagi membuat sebarang kenyataan negatif terhadap AKSB. Che Azmi turut diarahkan untuk membayar kos perbicaraan sebanyak RM15,000,” ujarnya.

Perbicaraan kes tersebut berlangsung enam hari, di mana lapan orang saksi memberi keterangan termasuk bekas wartawan TV3, Puspavathy Ramaloo.

Che Azmi diwakili peguam Ilias Mohd Noor dan Nor Azli Ahmed, manakala peguam Bhag Singh mewakili akhbar The Star.

Saman terhadap The Star sebelum ini diselesaikan luar mahkamah.

Tiada ulasan: