Isnin, 24 Februari 2014

Batal segera hukuman pindah sekolah terhadap guru kritik PBS


lks (3)

KUALA LUMPUR: DAP mendesak Kementerian Pendidikan agar membatalkan segera semua tindakan tatatertib yang dikenakan kepada sejumlah guru yang mengkritik sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang menyusahkan dan memiliki pelbagai masalah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan, hukuman yang dikenakan kepada guru yang mengkritik sistem itu adalah tindakan jahat untuk menghalang kritikan yang munasabah dalam perkhidmatan pendidikan.

“Tindakan Kementerian Pendidikan menghukum ketua Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari serta guru lain yang tampil mengkritik PBS tidak wajar sama sekali.

“Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu beri perhatian untuk pastikan semua tindakan tatatertib tarhadap mereka dibatalkan. Penggantungan pelaksanaan PBS oleh kementerian sepatutnya diikuti dengan pembatalan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, katanya lagi, guru-guru itu sepatutnya dijemput pihak kementerian untuk sama-sama terlibat dalam penilaian semula PBS yang akan dijalankan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen DAP Serdang Dr. Ong Kian Ming mendedahkan, Mohd Nor Izzat diberi notis 24 jam ke sebuah sekolah di pedalaman Jerantut, Pahang ekoran lantang mengkritik sistem yang mula diperkenalkan kepada murid tahun satu pada 2011 itu.

Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof mengeluarkan kenyataan memaklumkan sistem PBS digantung sementara kajian semula terhadapnya dibuat.

Keputusan itu dipercayai dibuat selepas pelaksanaan sistem itu dibantah pelbagai pihak, termasuk SGMM yang mengadakan himpunan protes yang disertai lebih 100 guru, Sabtu lalu.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, masalah itu mencerminkan jurang dan bencana yang bakal menimpa usaha transformasi pendidikan negara yang barasas kepada pelan yang disediakan perunding asing, bukannya pakar pendidikan tempatan.

“Ia antaranya menyebabkan guru menjadi kerani pencatat data, terpaksa bangun pada jam 2-3 pagi untuk masukkan markah, berikutan masalah jaringan atas talian. Ini patut menjadi pengajaran berharga dalam usaha mengubah sistem pendidikan negara,” katanya.

Beliau juga meminta Muhyiddin memberi laporan penuh berhubung isu itu kepada Parlimen yang akan bersidang pada bulan hadapan.

PBS mendapat kritikan ekoran pelbagai masalah teknikal, termasuk sistem yang tidak stabil, sehingga menyusahkan guru untuk menggunakannya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: