Jumaat, 28 Februari 2014

SPRM kemuka 18 kes salah laku Laporan Ketua Audit kepada Peguam Negara

THE MALAYSIAN INSIDER


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan kesemua 18 kertas siasatan yang dibukanya berhubung salah laku dan kecuaian penjawat awam dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata antara 18 kes yang disiasat oleh SPRM setakat 21 Februari lepas ialah tuntutan palsu pengarah di Kementerian Kerja Raya membabitkan dua projek Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Pengarah itu mengesahkan Sijil Perakuan Siap bagi kerja-kerja pembinaan asrama UMK di Jeli dan kampus di Bachok yang masing-masing bernilai RM23.6 juta dan RM100.4 juta sedangkan kerja tidak mengikut spesifikasi serta tidak disiapkan sepenuhnya oleh kontraktor, katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.

Kes lain ialah tuntutan palsu oleh Telekom Malaysia (TM) kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhubung projek Malaysian Emergency Response Services (Mers) 999 yang bernilai RM4.37 juta bagi tempoh 2007 hingga 2012.

Bagi tempoh 2007 hingga 2010, TM juga menuntut bayaran perkhidmatan Promosi dan Publisiti sebanyak RM3.19 juta sedangkan projek tersebut telah dibatalkan, katanya.

Beliau berkata bagi kes salah laku dan kecuaian lain yang melibatkan urusan tatatertib pula, sebanyak 140 pegawai dikenal pasti membabitkan 24 kes.

"Daripada jumlah itu, 99 pegawai telah dimulakan prodising di bawah tatatertib, 12 di bawah prosiding tatatertib dan surcaj serta 29 pegawai di bawah prosiding surcaj," katanya.

Antara kes yang melibatkan prosiding tatatertib dan surcaj ialah kes kehilangan aset oleh 67 pegawai polis dan kes pemberian program bantuan yang melibatkan dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan.

Katanya setakat 21 Februari lepas, lembaga tatatertib telah selesai menangani kes membabitkan 20 pegawai dengan 18 didapati bersalah dan dua lagi dibebaskan.

Daripada 18 yang didapati bersalah, 16 dikenakan hukuman amaran dengan implikasi penangguhan kenaikan pangkat selama setahun, seorang dikenakan hukuman denda melibatkan pemotongan emolumen maksimum tujuh hari yang membawa implikasi penangguhan kenaikan pangkat selama 18 bulan dan seorang lagi dihukum tangguh pergerakan gaji yang membawa implikasi penangguhan kenaikan pangkat selama 30 bulan.

Selain itu, 41 pegawai juga dikenakan surcaj, katanya. - Bernama,

Tiada ulasan: