Tiga jalan maut dikenal pasti Hamzah (kiri) Zubir (kanan) menyerahkan cenderahati kepada pengguna jalan raya sempena Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri, semalam. - Foto Sinar Harian


KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengenal pasti tiga kawasan paling berbahaya (black spot) di negeri ini berdasarkan kekerapan kemalangan yang berlaku di situ.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, tiga lokasi itu melibatkan Kilometer (KM) 20 hingga 26 (Kampung Alur Tuman), Marang;  KM 40 Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang (Kampung Batu 23), Hulu Terengganu dan KM 94 hingga 98, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kampung Nyior dan Kampung Tebing Tembah), Dungun.

Menurutnya, sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, pihaknya menyasarkan dapat mengurangkan kadar kemalangan di tiga lokasi berbahaya itu termasuk Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT 2).

“LPT 2 turut menyumbang kepada kejadian kemalangan kerana jalan itu baru dibuka dan pengguna belum begitu mahir dengan keadaan jalan itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri, semalam.

Turut hadir, Speakar Dun, Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Muhammad Pehimi Yusof.

Mengulas mengenai punca kepada kemalangan maut di negeri ini, Hamzah berkata, pihaknya kesal kerana masih terdapat individu enggan mengikut peraturan yang ditetapkan, sehingga menjadi punca kejadian tidak diingini.
Katanya, kumpulan yang berisiko kemalangan melibatkan pemuda berusia lingkungan 16 hingga 25 tahun dengan mencatat sebanyak 125 kes pada tahun lalu.

“Kebanyakan kes melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dan terdapat enam kematian pada tahun lalu. Begitu juga dengan pemandu dan penumpang motokar.

“Antara penyebab kepada tragedi itu ialah kes terbabas sendiri akibat mengantuk dan letih, sama ada terbabas ke tebing jalan atau langgar kereta di hadapan.

“Selain itu terdapat juga kemalangan berpunca daripada pemandu yang gagal mengawal kenderaan dan memandu di jalan pemandu lain, kemalangan ketika tukar lorong, kecuaian ketika melintas jalan dan keluar simpang tanpa lihat kiri dan kanan serta kemalangan akibat mengelak daripada melanggar binatang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berjata, pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati ketika memandu atau menunggang motosikal.

“Jika kita lebih berhati-hati dan memandu secara berhemah, risiko untuk berdepan kejadian sebegitu mungkin tidak akan berlaku,” katanya.