Tian Chua  
Tian Chua


KUALA LUMPUR – [VIDEO] PR mengulangi desakan agar kerajaan dan parti politik melepaskan kepentingan mereka dalam semua organisasi media supaya ia tidak disalahgunakan untuk melakukan propaganda yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat di negara ini.

Naib Presiden PKR, Tian Chua menegaskan, pemimpin kerajaan dan pembangkang perlulah menyokong kebebasan media daripada dikongkong serta dikawal demi kepentingan parti politik masing-masing dalam memastikan rakyat mendapat informasi yang tepat dan telus.

“Kini media bukan sahaja disekat bahkan ia telah disalahgunakan untuk membuat propaganda yang merosakkan keharmonian masyarakat dan ia suatu perkara yang amat serius.

“Apa yang dituntut dalam protes Pensil Merah itu adalah sebahagian daripada tuntutan Bersih pada pilihan raya supaya rakyat dapat informasi yang tepat dan objektif,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas protes Pensil Merah di Jalan Tun Perak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan supaya parti politik tidak lagi mengamalkan budaya mempolitikkan media massa sebaliknya mereka perlulah sepakat untuk memberi kebebasan kepada media untuk berkarya dan melaporkan berita benar.

“Parti pembangkang atau kerajaan, sepatutnya mereka menyokong media yang bebas, media juga harus dibebaskan daripada kuasa politik tertentu.

“Kita dalam PR sudah lama memperjuangkan supaya media bebas daripada kondisi permit ini dan juga bebas daripada segala campur tangan politik,” katanya lagi.