Khamis, 23 Januari 2014

Tiada Sebab Untuk 'Hitamkan' Gambar Babi - Wan Junaidi




PETALING JAYA: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tiada sebab untuk gambar babi dihitamkan dalam edisi tempatan akhbar antarabangsa New York Times.

"Saya secara peribadi tidak melihat apa-apa sebab mengapa gambar-gambar babi tidak boleh muncul di dalam penerbitan," kata Ahli Parlimen Santubong ini ketika dihubungi 'The Star Online'.

Pencetak edisi Malaysia, KHL Printing Co dilaporkan telah menghitamkan muka setiap haiwan itu dalam cerita muka depan isu Rabu.

Perbuatan itu menimbulkan kegusaran di kalangan pembaca yang segera berkongsi imej tersebut dalam talian.

"Bagi New York Times, jika ada gambar-gambar lucah, merokok, senjata seperti senapang, atau babi kita akan menapisnya. Ia tidak dibenarkan dalam sebuah negara Islam," kata G. Omprakash, seorang wakil daripada syarikat percetakan.

Walaupun beliau tidak pasti sama ada terdapat arahan kerajaan terhadap imej tersebut, penapisan seperti itu dilihat sebagai amalan standard daripada "senior" dalam syarikat yang berpangkalan di Alam Shah.

Walau bagaimanapun, Wan Junaidi berkata tidak ada undang-undang khusus terhadap penyiaran gambar babi.

"Semasa wabak H1N1, anda telah melihat banyak gambar menunjukkan babi di pelbagai penerbitan," katanya.

Tiada ulasan: