Khamis, 30 Januari 2014

Tabung Haji Umum Bonus Tahunan Enam Peratus, Tambahan Bonus Dua Peratus


MTAR ONLINE



KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan bonus enam peratus dan tambahan bonus haji sebanyak dua peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.

Kadar bonus tahun Tabung Haji sebanyak enam peratus itu kompetitif iaitu tiga mata lebih tinggi daripada kadar pulangan akaun deposit tetap perbankan Islam dan konvensional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharon berkata TH mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan dan pemberian bonus haji menunjukkan keiltiziman TH dalam menjaga kebajikan para pendeposit.

"Kadar bonus tahunan TH adalah kompetitif memandangkan profil pelaburan TH adalah terhad kepada pelaburan berlandaskan Syariah. manakala tabungan di TH adalah sukarela dan tiada had," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan TH Khamis.

Pendapatan keseluruhan TH bagi tahun 2013 berjumlah RM3.7 bilion atau peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding RM2.8 bilion pada 2012.

Keuntungan bersih selepas zakat berjumlah RM2.6 bilion pada 2013 berbanding RM2.1 bilion pada 2012.

TH mempunyai 8.3 juta pendeposit dan 7.7 juta daripada mereka belum menunaikan haji.
Majoriti akaun pendeposit (7.2 juta) tersebut mempunyai baki purata minimum kurang daripada bayaran haji sebanyak RM9,980. - BERNAMA

Tiada ulasan: