Sabtu, 18 Januari 2014

Roadshow UMNO: Perdana Menteri tidak harus menambah ketegangan kaum


gobind

KUALA LUMPUR – Roadshow UMNO untuk ‘mendidik’ orang Islam bagi memahami Enakmen Agama Bukan Islam Selangor dilihat sebagai satu lagi kegagalan Perdana Menteri untuk berpegang teguh kepada slogan dan janji 1Malaysianya.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam kenyataannya berkata langkah berdiam diri Perdana Menteri Najib Razak mencadangkan bahawa beliau meredai roadshow yang dirancang UMNO.

“Perdana Menteri telah gagal untuk menyatakan pendirian tentang isu kalimah Allah sehingga kini. Beliau terus berdiam diri meski kemarahan di kalangan rakyat kian memuncak dan bertukar menjadi isu perkauman,” ujar Gobind.

Menurut beliau jelas sekali ‘roadshow’ yang dicadangkan UMNO ini hanya akan meningkatkan sentimen kebencian orang Islam terhadap orang bukan Islam.

Tambah beliau lagi keadaan ini kian meruncing dengan laporan bahawa 1000 ahli UMNO di Hulu Selangor telah berhimpun untuk memprotes penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang diikuti dengan tindakan membakar patung Paderi Lawrence Andrew di penghujung perhimpunan terbabit.

“Apa isyarat yang sedang diberikan Najib sebagai Presiden UMNO kepada ahli-ahlinya dengan kekal berdiam diri terhadap insiden begitu,” kata beliau yang juga Pengerusi Biro Undang-undang DAP.
Beliau meggesa Perdana Menteri untuk menyatakan pendiriannya terhadap cadangan roadshow ini dan menghentikannya.

“Jika beliau tidak menghentikannya, maka saya rasa memang jelas bahawa beliau memang menggalakkan ketegangan kaum,” ujar Gobind. – Roketkini.com

Tiada ulasan: