Jumaat, 31 Januari 2014

PRK Kajang: Muslimat PAS tunggu arahan Pusat

HAZAYANI ZAKARIA 


KUALA LUMPUR: Jentera pilihan raya Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) sentiasa bersiap sedia menghadapi mana-mana pilihan raya kecil (PRK) termasuk di Dun Kajang jika mendapat arahan daripada PAS Pusat.

Pengarah Jabatan Pilihanraya DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, jentera DMPP menunggu arahan daripada pimpinan PAS dan akan bergerak kerja berdasarkan panduan serta arahan kerja Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan Jabatan Pilihan Raya PAS negeri-negeri.

"Sebagai jentera parti tentulah arahan dan keputusan jamaah itu lebih penting daripada apa sahaja hatta pandangan peribadi sendiri dalam konteks pro dan kontra keperluan PRK Kajang.

"Ia tidak boleh terpakai sekiranya sudah ada keputusan dan arahan jamaah dan dalam konteks ini arahan PAS Pusat di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Aiman juga, soal BN meletakkan calon atau sebaliknya tidak penting tetapi DMPP akan membantu kempen PRK Kajang atas nama Pakatan Rakyat.

"Sama ada BN letak calon atau tidak, yang penting kita akan ikut arahan dan keputusan parti.

“Jabatan Pilihan Raya DMPP  yakin dan percaya BN akan bertanding di PRK N25 Kajang dan kemungkinan besar menggunakan strategi lain dengan meletakkan calon Umno bukannya calon MCA dalam usaha menarik seberapa ramai sokongan kaum Melayu," katanya lagi.

Beliau juga menambah, ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan meniupkan sentimen kemarahan dalam kalangan rakyat.

Justeru katanya, penyokong Pakatan Rakyat tidak harus terpedaya dengan mainan Umno BN sebaliknya berusaha mempertahankan kemenangan di Dun Kajang.

"BN dalam rangka awal PRK ini cuba meniupkan sehabis mungkin sentimen marah rakyat terhadap perkembangan terbaru yang membawa PRK Kajang termasuklah memainkan sentimen marah sebahagian ahli dan pimpinan PAS.

"Kita tak nafikan kewajaran sikap bantah dan marah rakyat tetapi kita mesti segera sedar jangan sampai ia digunakan oleh musuh utama kita sebagai senjata bagi memenangkan dirinya.

"Umno BN mungkin cuba berlagak baik tapi saya percaya rakyat sudah tidak mudah ditipu oleh Umno BN ini dan jangan biarkan BN ambil kesempatan.

"Apapun keadaannya tanggungjawab mempertahankan Kajang dan seterusnya mendamaikan situasi politik dalaman Selangor adalah lebih utama.

"Janganlah kerana kebencian kita terhadap sesuatu menyebabkan kita hilang fokus lawan rejim yang nyata lebih jelas memusuhi rakyat apatah lagi dalam dasar-dasar terbarunya selepas PRU13," tegasnya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyatakan kesediaan PAS untuk membantu kempen PKR di Dun Kajang.

Kerusi Dun Kajang kosong berikutan peletakan jawatan Adunnya, Lee Chin Cheh yang diisytiharkan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh Isnin lalu.

Tiada ulasan: