Khamis, 23 Januari 2014

Pemindahan SJKT Seaport: Cari penyelesaian ‘menang-menang’ – M Kulasegaran


Kulasegaran

Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran sekali lagi meminta Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel membawa isu pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Seaport, di Kelana Jaya ke Kabinet.

Beliau berkata, ia agar satu penyelesaian ‘menang-menang’ dicapai berikutan pemindahan itu dibantah ibu bapa pelajar sekolah berkenaan.

Sebelum ini, 23 pelajar sekolah itu terpaksa mengadakan kelas di sebuah tanah kosong, berikutan sekolah itu ditutup tiba-tiba sebelum sesi persekolahan 2014 bermula.

Kementerian Pelajaran kemudian menyatakan sekolah itu tidak ditutup, sebaliknya dipindahkan ke lokasi lain di Kampung Lindungan, Petaling Jaya.

“Saya sambut baik kenyataan itu, namun ia tidak menggariskan isu sebenar pemindahan SJK(T) yang berusia 80 tahun itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau kesal apabila Palanivel tidak menunjukkan kepimpinan dan keberanian menyelesaikan isu itu, sama seperti sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membisu dalam soal kalimah ‘Allah’.

“Adakah beliau mengikut contoh Perdana Menteri?” katanya sinis.

Kementerian Pelajaran menyatakan SJKT Seaport perlu dipindahkan kerana bangunan tidak boleh ditambah atau diubahsuai kerana tapak sekolah itu milik beberapa pihak lain, termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga meminta Kerajaan Selangor mewartakan segera tanah itu agar SJKT Seaport terus kekal di situ.

“Oleh kerana tanah itu milik Kerajaan Selangor melalui PKNS dan tanah itu boleh diwartakan,
kenapa Palanivel terlalu sukar untuk beritahu dan meyakinkan Kabinet bahawa kontroversi pemindahan dapat diselesaikan secara ‘menang-menang’.

“Iaitu dengan kekalkan sekolah itu di tapak asal dan benarkan bangunan baru di Kampung Lindungan sebagai sekolah tambahan,” katanya lagi.

Sokongan orang ramai

Sehubungan itu, beliau turut menyeru orang ramai agar turut sama menyokong usaha mengekalkan SJKT Seaport di tapak asal.

Beliau mengambil contoh kempen ‘Save SJKC Damansara’ pada 2001 yang mendapat sokongan banyak pihak.

“Jika kempen ‘Save SJKC Damansara’ berjaya dengan sokongan ramai, usaha mengekalkan SJKT Seaport juga boleh dijayakan dengan sokongan sama,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: