Sabtu, 18 Januari 2014

Pemimpin PAS beri amaran paderi agar tidak diperguna Umno

OLEH ELIZABETH ZACHARIAH


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dakwa pemimpin Umno guna isu Allah untuk raih sokongan Melayu luar bandar. Gambar fail.Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dakwa pemimpin Umno guna isu Allah untuk raih sokongan Melayu luar bandar. Gambar fail. 


























Pemimpin Umno sedang menggunakan isu Allah untuk menjadikan paderi Katolik sebagai "pajakan" bagi meraih sokongan Melayu luar bandar, kata pemimpin PAS.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata beliau sudah bertemu dengan paderi daripada KL Archdiocese untuk berbincang berkenaan beberapa situasi melibatkan agama di Archdiocesan Centre di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

"Saya berkata kepada mereka (paderi) sama ada mereka suka atau tidak, mereka sedang digunakan sebagai ‘pajakan politik’ oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam isu ini.

 "Mereka (Umno) cuba untuk mempolarisasikan kaum agar Melayu merasakan mereka terancam," katanya kepada The Malaysian Insider dan menambah beliau turut membincangkan isu Allah dan rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban.

Beliau berkata, apa yang disembunyikan daripada etnik Melayu luar bandar adalah dunia sedang mentertawakan Malaysia dalam isu kalimah Allah.

Pemimpin PAS berkata, masyarakat Melayu luar bandar diberikan berita daripada media yang dikawal kerajaan dan tidak mengetahui perkara sebenar.

"Melayu bandar yang perlu dimenangi. Umno kini menjadi terdesak untuk mendapatkan sokongan kerana Melayu bandar mula beralih arah.

"Ia permainan politik. Kelangsungan Umno bergantung sama ada mereka mampu menakutkan orang Melayu beragama Islam bahawa mereka terancam atau tidak," katanya.

Khalid turut menyertai gesaan rakan daripada PAS seperti Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang turut menganjurkan dialog di gereja seluruh negara untuk membina "jambatan" dengan komuniti tersebut berikutan pertikaian kalimah Allah.

Ketika sesi 40 minit bersama paderi, Khalid berkata, pendirian PAS terhadap isu penggunaan perkataan Alllah adalah jelas iaitu bukan Islam boleh menggunakan perkataan itu dalam amalan mereka selagi ia tidak disalah tafsir dan disalahguna.

"Tiada bukti bertulis dalam Al-Quran bahawa Nabi Muhammad melarang bukan Islam menggunakan kalimah itu,” katanya.

Beliau berkata, Umno menggunakan debat terhadap isu Allah untuk mengaburi kegagalan mereka dalam banyak perkara.

"Contohnya, kenaikan harga barang yang meningkatkan kos sara hidup," katanya.
Katanya, Islam adalah agama keamanan dan kedamaian.

"Ini beza kami dengan Umno. Mereka gunakan agama untuk survival politik mereka,” katanya.

Beliau turut mengulangi sentimen daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menuduh Umno menolak Islam ketika Muktamar PAS ke-59 tahun lalu.

"Parti yang menolak Islam adalah Umno. DAP tidak bersetuju dengan Islam. Kita memmpunyai pendapat berbeza namun DAP menyuarakan perbezaan mereka," kata Abdul Hadi.

Isu berkaitan penggunaan kalimah Allah menjadi hangat selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas lebih 300 Bible daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) yang menggunakan bahasa Melayu dan Iban.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar turut mengumumkan program 30 jelajah ke seluruh negeri itu sudah disusun untuk mendidik umat Islam berhubung kontroversi berkenaan.

Beliau turut mengetuai 1,000 ahli Umno di Hulu Selangor mengadakan bantahan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian.

Mereka turut membakar patung Paderi Lawrence Andrew yang juga pengarang akhbar mingguan Katolik, Herald.

Andrew sebelum ini mencetuskan ketegangan selepas menegaskan penganut Katolik di Selangor akan tetap menggunakan kalimah Allah dalam kegiatan gereja mereka walaupun titah Sultan Selangor melarang mereka melakukannya.

Mahkamah Rayuan tahun lalu mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak permohonan penganut Katolik untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Penganut Kristian membentuk sejumlah 9% daripada keseluruhan populasi Malaysia atau sekitar 2.6 juta orang.

Tiada ulasan: