Khamis, 30 Januari 2014

PAS bina surau untuk Orang Asli



 
KHAIRIL ABDUL RAHIM 


TEMERLOH: Hasil sifat prihatin dan komitmen berterusan, PAS Pahang melalui Lajnah Dakwah akhirnya berjaya membina sebuah surau di perkampungan Orang Asli Paya Pelong, Kerdau dekat sini. (Gambar atas: Pemuda PAS menyiapkan kerja-kerja akhir surau)

Menurut Pengerusinya, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim, surau bernilai RM30,000 hasil kutipan dan sumbangan orang ramai itu dibina bagi kegunaan beribadah dan mengembangkan ilmu masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan.

Katanya, ia dibina berikutan desakan penduduk setelah banyak kali masyarakat Islam di kampung berkenaan menemui pihak Pegawai Agama Islam Daerah (PAID) bagi meminta surau tetapi dimaklumkan tidak ada peruntukan.

“Ekoran itu dengan inisiatif Pemuda PAS Kuala Krau telah mengumpulkan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk Prihatin Rakyat PAS Pahang dan berjaya membinanya dengan kos RM30,000.

“Keseluruhannya di sini ada 140 keluarga keluarga Orang Asli dengan penduduk sekitar 500 orang. Ada lima keluarga Islam, Kebanyakannya hanya beragama nenek moyang dan sedikit beragama Kristian tetapi sudah ada gereja di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan surau, ziarah dan jamuan rakyat di kampung berkenaan kelmarin.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saad, Pengarah PAS Dun Kerdau Ahmad Mat Yaman, Ketua Pemuda PAS Kuala Krau Shafie Md Esa, Muslimat dan Nisa’.

Shahril berkata, peringkat awal ini Lajnah Dakwah PAS Pahang mahu rapatkan hubungan dengan Orang Asli dan beberapa perancangan pengisian selepas ini akan dibincang dengan pihak PAID tentang apa-apa yang boleh dibantu di sini sama ada dari sudut kewangan ataupun menggajikan seorang tenaga pengajar.

“Apapun yang pentingnya selepas ini surau tidak boleh terbiar,” katanya.

Kampung Paya Pelong berada dalam Dun Jenderak tetapi melalui Kerdau. Sumber pendapatan bagi penduduk sebahagian besarnya bergantung kepada hasil pertanian dan selebihnya kerja mengambil upah di luar.

Ketua Pemuda PAS Kuala Krau Suhaimi Md Esa, berkata selepas ini pihaknya akan mengusahakan pengajaran kepada penduduk melalui kuliah maghrib dan kuliah muslimat.

Pihaknya juga akan menghantar sumbangan bulanan dalam bentuk barangan di samping menyediakan pemeriksaan dan  rawatan kesihatan percuma secara berkala.

Sementara itu tuan tanah yang mewakafkan tanahnya untuk tapak surau Mohd Aris Abdullah, 45, berkata sebelum ini kira-kira 30 orang penduduk Islam Islam di sini tidak ada tempat untuk bersembahyang jemaah, berkumpul dan mengaji. (Gambar kanan: Sharil, Suhaimi dan Ahmad menyantuni masyarakat orang Asli)

“Terima kasih kami kepada PAS yang berusaha membina surau juga tidak lupa terima kasih kami kepada Jabatan Agama Islam kerana memberi keizinan surau ini dibina.

“Selepas ini mudahlah kami untuk berjemaah, berdakwah dan belajar termasuk daripada pendakwah Jabatan Agama,” katanya.

Tiada ulasan: