Ahad, 5 Januari 2014

Ketenteraman awam perlu diutamakan semua pihak

ABDUL HADI AWANG


Parti Islam SeMalaysia (PAS) memandang dengan serius suara-suara provokasi yang ditimbulkan oleh pihak tertentu dalam isu penggunaan kalimah Allah, terutamanya terhadap cadangan beberapa pihak untuk berdemonstrasi di hadapan gereja tertentu di Selangor pada hari Ahad 5 Januari 2014.

PAS mengingatkan umat Islam supaya ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat adalah perlu menjadi keutamaan terutamanya dalam negara kita yang berbilang bangsa dan agama ini. Isu penggunaan kalimah Allah ini perlu disantuni dengan ilmu Islam, berdasarkan disiplin ilmu yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah dan bukannya menerusi kekerasan apatah lagi menggunakan undang-undang yang dipaksakan semata-mata. Pendekatan berhujah dengan ilmu perlu lebih diutamakan dalam memberikan kefahaman kepada anggota masyarakat, terutamanya kepada masyarakat yang bukan beragama Islam. Di sinilah tugas kita untuk menunjukkan contoh teladan bahawa Islam adalah pembawa Rahmat ke seluruh alam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT.

PAS akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.

PAS juga merasa sangat dukacita sekiranya isu ini diperhangatkan sehingga rakyat lupa kepada masalah keperitan hidup angkara kenaikan harga barang pada tahun 2014 ini.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Tiada ulasan: