Ahad, 26 Januari 2014

Dakwa Ramanan atas tuduhan jenayah – Karpal Singh


karpal  sons_6278 (1)

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh mencadangkan agar Pendakwa Raya mendakwa Bendahari Agung MIC, Datuk R Ramanan atas tuduhan jenayah, selepas didapati bersalah menipu membabitkan wang sejumlah RM5.5 juta.

Semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lee Heng Cheong memerintahkan Ramanan memulangkan wang itu dalam masa 14 hari kepada pakar psikiatri, Tan Sri Dr M Mahadevan yang diterimanya secara menipu daripada Kementerian Pertahanan empat tahun lalu.

“Keputusan mahkamah bahawa wujudnya unsur penipuan oleh Ramanan menunjukkan keperluan bagi hakim merujuk kes itu kepada Pendakwa Raya untuk kemungkinan dakwaan jenayah.

“Malah dalam keadaan seperti ini, hakim perlu berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau menyeru Lee melakukan apa yang perlu demi kepentingan rakyat, selepas mendapati Ramanan memperdaya Mahadevan sehingga menyebabkan ahli psikiatri terkenal itu memasukkan RM5.5 juta ke akaun peribadi miliknya pada 19 Mei 2010.

“Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang menjadi Pendakwa Raya juga perlu mengarahkan polis melakukan siasatan untuk mendakwa Ramanan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (atas tuduhan menipu dan dengan curang mendorong penyerahan harta) jika memiliki cukup bukti,” kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

Menurut mStar Online, Mahadevan memfailkan tuntutan berjumlah RM26.6 juta daripada Kementerian Pertahanan berikutan menggunakan tanah miliknya sebagai lapan sasar daripada 1968 hingga 1988.

Ramanan kemudian berkata kepada Mahadevan bahawa beliau boleh membantunya dalam tuntutan itu dan memerlukan RM6.5 juta sebelum dikurangkan kepada RM5.5 juta.

Ramanan turut memalsukan surat daripada Kementerian Pertahanan pada April 2010 yang menyatakan telah meluluskan tuntutan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes itu menjadi bertambah serius kerana membabitkan sejumlah wang besar serta kedudukan Ramanan selaku Bendahari Agung MIC.

“Undang-undang tidak mengira siapa. Tiada seorang, walau setinggi mana kedudukannya, dapat melepaskan diri jika bukti cukup untuk dakwaan jenayah,” kata peguam terkemuka itu lagi.-Roketkini.com

Tiada ulasan: