Isnin, 27 Januari 2014

Agama disalahguna politikus

Menurut Wan Ji Wan Hussin, ia berlaku sejak wafatnya Nabi Muhammad untuk mengekalkan kuasa politik. 





KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin mendakwa bahawa agama Islam disalahgunakan oleh politikus untuk mengekalkan kuasa politik mereka.

“Agama bila dikaitkan dengan kuasa mendatangkan masalah yang besar.  Yang zalim menggunakan imej Islam untuk kelihatan baik.

“Diskriminasi terhadap pihak lain dilakukan dengan nama agama,” kata Wan Ji dalam forum bertajuk Agama: Masalah dan Penyelesaian anjuran Projek Dialog semalam.

Beliau menjelaskan penyalahgunaan Islam berlaku sejak kewafatan Nabi Muhammad.
“Golongan Khawarij menentang Saidina Ali b Abi Taib dengan menggunakan teknik menjunjung Al-Quran,” katanya.

Ia berterusan hingga sepertimana yang dilihat dalam konflik Syiah dengan Sunni.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Uthaya Sankar SB menyalahkan pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menyebabkan permasalahan agama yang berlaku sekarang.

Menurutnya, Dr Mahathir menyebabkan permasalahan agama hari ini apabila mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam.

Dr Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam pada 29 Sept 2001 semasa ucapan perasmian parti Gerakan.

“Dr Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam dengan tujuan menawan Kelantan dalam pilihan raya umum,” kata Uthaya.

Wan Ji yang ditemui selepas forum tersebut turut menyatakan bahawa Quran tidak menyatakan bahawa kalimah Allah eksklusif untuk umat Islam.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada surah Al – Maidah ayat 5 dan 106, surah At – Taubah ayat 30 dan surah al-An’am ayat 106.

Tiada ulasan: