Rabu, 18 Disember 2013

Zahid, mana janji ‘berita baik terhadap tahanan ISA’

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Suaram Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan semua baki tahanan ISA akan dibebaskan segera.

Penyelarasnya, Syukri Razab berkata, desakan itu dibuat memandangkan Menteri Dalam Negeri pernah menjanjikan sesuatu yang disebut sebagai ‘berita baik terhadap tahanan ISA’ semasa Hari Raya Aidilfitri yang lalu, namun janji itu hanya tinggal janji kosong.
Kenyataan beliau selanjutnya seperti di bawah.

Baki tahanan ISA bertambah satu, menjadi 7 orang

Berdasarkan rekod SUARAM, masih terdapat 6 orang tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting yang terdiri daripada 4 orang warga tempatan, seorang warga Indonesia dan seorang warga Filipina.

Kesemua tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting akan dibebaskan pada 5 Januari 2014 berdasarkan Perintah Tahanan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri.

Selain 6 orang tersebut, SUARAM mendapat maklumat mengenai terdapat seorang lagi tahanan ISA yang dikenakan Perintah Sekatan mengikut seksyen 8(5) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Berdasarkan Perintah Sekatan yang dikeluarkan, tahanan tersebut tidak dibenarkan keluar daripada Daerah Polis Petaling Jaya dan beliau wajib melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada setiap hari Isnin.

Perintah Sekatan terhadap beliau dikeluarkan pada Mac 2010 dan sepatutnya tamat pada Mac 2012.

Walaubagaimanapun Perintah Sekatan itu telah disambung pada Mac 2012 menyebabkan tempoh sekatan dilanjutkan sehingga Mac 2014. Maklumat terbaru ini menjadikan jumlah baki tahanan ISA seramai 7 orang.
 
Sembunyikan perintah sekatan, menteri cuba tutup kezaliman

Berdasarkan laporan Astro Awani bertarikh 19 November, semasa memaklumkan mengenai senarai terakhir tahanan ISA, pihak Kementerian Dalam Negeri hanya menyebut baki 6 orang tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting.

Pihak Menteri seolah-olah cuba menyembunyikan seorang tahanan yang dikenakan Perintah Sekatan memandangkan tahanan tersebut akan menjadi tahanan yang paling akhir dibebaskan.

Menurut maklumat yang diterima SUARAM, tahanan yang dikenakan Perintah Sekatan ini merupakan bapa kepada 4 orang anak yang masih bersekolah.

Beliau juga merupakan seorang pengajar yang sering memberi kuliah dalam kelas-kelas agama. Perintah Sekatan ini menyebabkan seluruh keluarga beliau berada dalam keadaan tertekan kerana hak beliau untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga telah dinafikan. 

SUARAM ingin mengingatkan Menteri Dalam Negeri, 7 orang tahanan ISA ini tidak pernah dibuktikan bersalah oleh mana-mana mahkamah undang-undang. Mereka terus ditahan biarpun ISA telah dimansuhkan. Semakin lama mereka ditahan bermakna semakin lama juga kezaliman akan berterusan

Bebaskan segera, tamatkan kezaliman

Bagi menamatkan kezaliman akibat undang-undang drakonian tahan tanpa bicara ini, SUARAM mengutarakan tuntutan berikut:

1. SUARAM menuntut Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bahawa kesemua tahanan akan dibebaskan segera. SUARAM percaya Menteri masih mempunyai kuasa budibicara untuk membebaskan kesemua tahanan ISA lebih awal berdasarkan Seksyen 32 (2)(a) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA).

2. SUARAM juga ingin menuntut Menteri Dalam Negeri memansuhkan peruntukan tahan tanpa bicara seperti yang terkandung di dalam Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas)

3. SUARAM juga ingin mendesak Kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian Hak Asasi Antarabangsa iaitu International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or degrading Treatment or Punishment (CAT). Perkara ini amat perlu bagi memastikan tidak ada lagi undang-undang yang bercanggah dengan Hak Asasi Manusia digubal di negara ini.

4. SUARAM juga menuntut pihak Kementerian Dalam Negeri menyiasat segala dakwaan salah laku dan penderaan yang dilakukan terhadap tahanan ISA seperti yang pernah didedahkan sebelum ini. Siasatan ini perlu dilakukan bagi membawa pihak yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan seterusnya membela pihak yang ditindas.  

Tiada ulasan: