Rabu, 18 Disember 2013

Salahudin dilantik pengerusi JK Bencana Alam PAS


Salahuddin bergotong-royong mencuci perkakas dapur mangsa banjir di Kemaman, baru-baru ini.


MUHAMMAD FAIZAL 


KUALA LUMPUR: PAS hari ini menubuhkan Jawatankuasa Pusat Kecemasan dan Bencana Alam bagi memberi fokus kusus terhadap isu bencana dan kecemasan yang dihadapi oleh rakyat.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub telah dipilih bagi mempengerusikan jawatankuasa itu.

Keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat yang berlangsung di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut pagi ini.

Penubuhan jawatan kuasa itu dibuat dengan mengambil pengajaran insiden banjir besar yang melanda Pantai Timur khususnya di Pahang baru-baru ini.

Sebelum ini jawatankuasa tersebut hanya bertindak secara ad-hoc apabila berlaku sesuatu bencana, namun hari ini ia diputuskan sebagai sebuah jawatankuasa tetap yang merangka perancangan lebih teliti jika negara ini dilanda bencana seperti banjir.

Salahudin ketika bercakap kepada media hari ini berkata, sebagai tugas pertama sebelum ini, pihaknya telah mengunjungi mangsa-mangsa banjir yang berlaku di Kuantan dan Kemaman serta menyediakan bantuan kepada mangsa.

"Walaupun jawatankuasa ini baru dibentuk secara tetap hari ini, namun saya sudah pun meninjau keadaan banjir dan menemui mangsa-mangsa banjir di Kuantan dan Kemaman.

"Kita akan membuat perancangan yang khusus bagi menghadapi situasi tersebut pada keadaan sekarang dan masa-masa akan datang," jelasnya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Jelasnya lagi, penubuhan jawatankuasa ini satu langkah terbaik bagi memastikan segala bentuk perancangan menghadapi bencana alam dapat dilakukan dengan sempurna dalam menghadapi bencana atau kecemasan pada masa akan datang.

"Kita telah pun bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua di Kuantan dan Kemaman," sambung beliau.

Tiada ulasan: