Sabtu, 28 Disember 2013

Pengamal media perlu bangkit

 
Tiada siapa pun yang patut berdiam diri apabila kebebasan akhbar dikekang oleh pihak berkuasa.




PETALING JAYA: Kesemua pengamal media yang merasakan industri media Malaysia ditekan oleh kerajaan perlu bangkit menyuarakan pendapat mereka.

Menurut seorang pensyarah bidang kewartawanan di Pulau Pinang Wang Lay Kim, tiada siapa pun yang patut berdiam diri apabila kebebasan akhbar dikekang oleh pihak berkuasa.

Wang turut memuji kewujudan sebuah NGO baharu, Gerakan Media Marah (GERAMM) yang merupakan gabungan wartawan-wartawan media portal, yang dilihat cuba menghalang kekangan yang diberikan kepada media hari ini.

Menurut Wang, ini mungkin kali pertama dalam sejarah negara selepas Mogok Utusan 1961 dimana berlakunya penyatuan wartawan menentang kekangan kerajaan kepada media.

“Baguslah wartawan tampil kedepan dan bersatu dalam hal ini.

“Ini bukan kali pertama wartawan-wartawan bersatu membantah kekangan kerajaan kepada akhbar tempatan namun ini kali pertama ianya berlaku setelah sekian,” katanya lagi.

Tambah Wang, amalan penggantungan penerbitan akhbar merupakan amalan yang dasyat dan menyifatkannya seperti ‘membunuh semut menggunakan tukul’.

GERAMM ditubuhkan sebagai tanda solidariti untuk akhbar mingguan The Heat yang digantung penerbitannya serta merta selepas menerima arahan penggantungan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) – atas alasan tidak memaklumkan KDN akan berlakunya pertukaran pemilikan dan hala tuju akhbar tersebut daripada sebuah akhbar perniagaan.

NGO tersebut akan membawakan satu forum awam bertajuk ‘Bebaskan Media’ Jumaat ini bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), Kuala Lumpur.

Forum yang akan bermula seawal jam 8 malam itu akan diwarnai dengan kehadiran ahli-ahli panel yang mewakili portal-portal utama di Malaysia iaitu Steven Gan (Malaysiakini), V. Anbalagan (The Malaysian Insider), G. Vinod (FMT), Masjaliza Hamzah (Pusat Kewartawanan Bebas). Hata Wahari (Reporters Without Borders) dan Ronasina (Kartunis dan Penerbit bebas).

Antara isu-isu yang diulas dalam forum ini ialah keganasan pada pengamal media sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 pada tahun 2012, masalah permit penerbitan dan kawalan Akta Penerbitan, penggantungan The Heat dan akhbar-akhbar pembangkang serta layanan parti-parti politik Barisan Nasional juga Pakatan Rakyat terhadap wartawan.

Moderator bagi forum ini ialah Zulkifli Sulong, editor The Malaysian Insider.

Tiada ulasan: