Khalid Abu Bakar 
 Khalid Abu Bakar


KUALA LUMPUR - Seramai 2,004 pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak serta waran tangkap telah ditahan dalam Ops Warta yang dijalankan di seluruh negara sejak 25 Sept lalu hingga semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka merupakan sebahagian daripada 51,114 orang yang diperiksa dalam tempoh berkenaan.

"Tangkapan paling banyak adalah di Johor iaitu seramai 760 individu, diikuti Sabah (306), Selangor (167), Perak (160) dan Kedah iaitu 123 individu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander dan Komandan di Maktab PDRM, Cheras hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dengan lebih tegas khusus dalam memastikan 1.7 juta saman tertunggak yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibayar oleh pesalah trafik.

"Jika ada yang tidak mahu menyelesaikan saman mereka kita akan tangkap, cuma kita masih belum pergi rumah ke rumah untuk meminta mereka membayar saman," katanya.

"Yang dikeluarkan waran tangkap adalah mereka yang telah dikeluarkan lebih daripada empat saman yang tidak dibayar, baru kita mohon waran tangkap terhadap mereka," katanya.

Khalid berkata sehingga kini hanya 30 peratus sahaja pesalah trafik telah menyelesaikan saman tertunggak mereka.

Sementara itu, sebanyak 184,996 individu telah diperiksa dalam Ops Cantas Khas yang dilakukan di seluruh negara bermula 13 Okt lalu sehingga semalam.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 89,370 merupakan kaum Melayu, Cina (46,627), India (24,253) dan lain-lain (24,746).

Bersempena persidangan itu, Khalid turut merasmikan sebuah bas pameran bergerak Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) bernilai RM499,000 yang berfungsi untuk mempromosikan kejayaan dan keberhasilan pelaksanaan program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah dan sedang dilaksanakan.

Bas sepanjang 12 meter yang dibina pada 1 Ogos lepas itu juga boleh digunakan sebagai bilik gerakan bergerak sesuatu operasi PDRM, bilik pemantauan bergerak dalam sesuatu operasi dan sebagai kaunter pemeriksaan pembayaran saman.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Pengarah JPPJ Bukit Aman, Datuk Wira Ayub Yaakob.  - Bernama