Ahad, 22 Disember 2013

NGO anjur 'flashmob' The Heat di KL esok


Isu penggantungan mingguan The Heat turut menjadi salah satu tuntutan dalam flashmob oleh sebuah NGO di ibu kota esok ( Ahad )

Koordinator JINGGA 13 Fariz Musa berkata selain isu kenaikan harga barang, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung akhbar baru itu dianggap menindas media.

"Ini tidak demokratik. Tidak patut buat begini kepada mana-mana media yang mengkritik, ini tunjuk secara jelasnya penindasan KDN terhadap media," kata beliau kepada Malaysiakini hari ini.

JINGGA 13 akan mengadakan flashmob mereka di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada jam 4 petang, esok.

Fariz (kanan) berkata, mereka akan turut mengedar risalah (bawah) menolak tindakan kerajaan terhadap The Heat.

Berhubung kenaikan harga barang, Fariz berkata, ia berpunca daripada dasar kerajaan melalui pengurangan subsidi minyak, kenaikan tarif elektrik, penghapusan subsidi gula dan kenaikan cukai pintu.

Beliau memberi contoh walaupun kerajaan berjanji rakyat tidak begitu terkesan secara langsung, kenaikan tarif elektrik membuktikan kesan tidak langsung yang bahaya.

"Walaupun TNB (Tenaga Nasional Berhad) kata 70 peratus rakyat tak terlibat dengan kenaikan bil elektrik, mereka dari sektor perkilangan dan perniagaan sebaliknya menaikkan harga bagi menampung kos yang lebih tinggi. Kenaikan ini melibatkan 100 peratus rakyat," kata beliau.

Sementara itu, satu lagi NGO, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) akan turut mengadakan flashmob mereka di satu lagi kompleks membeli belah, juga pada jam 2 petang esok.

Mereka mengajak rakyat yang prihatin dengan kenaikan kos sara hidup bersama mereka di kompleks membeli belah Mid Valley Megamall, Bangsar dan memakai baju berwarna hitam.

Pengerusi TURUN Muhamad Azan Safar berkata tujuan flashmob itu untuk mengajak rakyat turut sama memprotes kenaikan harga barang di samping mempromosi Himpunan Amarah Rakyat pada 31 Disember ini.

"Sebelum mula flashmob pada jam 2 petang, Kita akan edarkan kertas arahan bagaimana orang ramai boleh turut sama menyertai aksi flashmob sekaligus tanda sokongan terhadap usaha protes kenaikan harga barang hari ini," kata beliau kepada Malaysiakini.

Kedua-dua NGO itu turut bergabung dengan pelbagai NGO lain untuk rapat umum di Dataran Merdeka 31 Disember ini bagi menunjukkan protes mereka terhadap dasar kerajaan.

Tiada ulasan: