Mahfuz Omar 
 Mahfuz Omar


SHAH ALAM – Manifesto BN dalam PRU13 lalu terbukti hanya sekadar cakap kosong apabila bertindak membebankan rakyat dengan pelbagai kenaikan dan terbaharu isu kenaikan harga tol.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar, berkata tindakan BN ini harus menjadi pengajaran  supaya rakyat tidak akan terpedaya lagi dengan "gula-gula" menjelang pilihan raya.

“Sekarang apa yang kita dapat lihat, kerajaan hanya melaungkan slogan kosong janji ditepati tanpa merealisasikan apa yang dijanjikan kepada masyarakat.

“Apabila sudah berlaku perkara sebegini, apa yang rakyat boleh lakukan hanya menjerit minta mereka (kerajaan) turunkan harga. Tetapi jeritan rakyat ini sudah tentu tidak memberikan kesan kepada mereka.” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, isu siri kenaikan yang menimpa rakyat sekarang sebenarnya sudah dirancang dan mahu dilaksanakan sebelum pilihan raya, namun kerajaan menunggu selepas PRU13 bagi memastikan populariti dan sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas.

“Sehingga tahun hadapan, kerajaan akan melaksanakan pelbagai kenaikan, kemudian pada tahun 2015, apabila GST telah dilaksanakan dan pendapatan negara sudah banyak, maka mereka akan mula memberikan gula-gula kepada rakyat.” katanya

Ujarnya lagi, menjelang PRU14, isu kenaikan harga ini akan mulai reda dan kerajaan akan bertindak memenangi populariti dan hati rakyat melalui pemberian gula-gula sehingga rakyat melupakan tindakan kerajaan pada hari ini.