Selasa, 17 Disember 2013

Lagi pemimpin DAP desak Utusan Malaysia minta maaf

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Teng Chang Khim desak Utusan Malaysia minta maaf dan perbetulkan kenyataannya. Gambar fail.Teng Chang Khim desak Utusan Malaysia minta maaf dan perbetulkan kenyataannya. Gambar fail.
























Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengutuk laporan muka depan Utusan Malaysia semalam dan mendakwa kenyataannya dipetik secara salah serta jauh terpesong daripada yang sebenar.

Sehubungan itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan itu meminta akhbar Umno itu memohon maaf.

“Saya seorang yang praktikal, Utusan Malaysia hanya perlu minta maaf dan betulkan kenyataan, itu sahaja,” katanya.

Beliau kesal dengan laporan Utusan Malaysia yang menggambarkan seolah-olah beliau mengkritik kerajaan negeri Selangor dengan mendakwa ia sering mengamalkan pendekatan populis.

Teng berkata, ucapan penggulungannya semalam sebenarnya menyentuh gesaan agar kerajaan negeri memperkemaskan lagi program kebajikan sedia ada untuk mendidik rakyat meningkatkan keupayaan dan kebolehan mereka sendiri.

“Contohnya, Program Tuisyen Percuma perlu diperbanyakkan lagi kerana ia bagus untuk mendidik rakyat, kita sebagai sebuah kerajaan yang baik bukan sekadar perlu bagi kebajikan sahaja kepada rakyat tetapi kita perlu mempunyai dasar dan pengurusan baik bagi jangka masa depan rakyat.

“Itulah yang saya maksudkan dengan mengajar rakyat memancing untuk dapat ikan, dan bukan sekadar bagi ikan sahaja,” katanya seperti dilaporkan Selangorkini.

Teng berkata demikian pada sidang media untuk mengulas laporan akhbar itu yang mendakwa beliau menggesa kerajaan negeri untuk tidak meneruskan dasar populis selepas masuk penggal kedua pemerintahan di Selangor ketika memberikan ucapan penggulungan di Konvensyen Biasa DAP Selangor.

Teng turut menyangkal dakwaan Utusan Malaysia kononnya beliau seolah-olah kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang membenarkan hanya empat hingga 10 peratus daripada belanjawan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) digunakan bagi tujuan pembangunan demi melaksanakan program populis.

“Saya memberitahu jumlah tersebut untuk menyatakan bahawa PBT perlu mencari sumber pendapatan lain dan saya langsung tidak menyebut bahawa perlu dihentikan program sedia ada,” katanya.

Tiada ulasan: