Fahmi Fadzil


SHAH ALAM - Ekoran kenyataan menggemparkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Jakim  mengambil tindakan ke atas orang nombor dua Pas kerana didakwa mengamalkan ajaran Syiah, PKR tampil menggesa kenyataan itu ditarik balik.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Ahmad Zahid yang mengarahkan Datuk Seri Jamil Khir dan Jakim untuk mengambil tindakan ke atas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu bagai menjatuhkan hukuman tanpa perbicaraan bebas dan adil.

“Ahmad Zahid amat tidak produktif, berbahaya dan bagai cuba menggagalkan rekonsiliasi yang diusahakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tatkala Perdana Menteri cuba menghulurkan tangan terbuka kepada parti-parti PR untuk mengadakan dialog nasional untuk rekonsiliasi, Ahmad Zahid pula bagai menghulurkan ‘penumbuk’ kepada Pas khususnya dan PR amnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Petang tadi, Ahmad Zahid dilaporkan meminta Jakim mengambil tindakan ke atas orang nombor dua Pas kerana didakwa mengamalkan ajaran Syiah.

Menteri Dalam Negeri itu ketika sesi penggulungan PAU hari ini memberikan 'lampu hijau' kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang portfolio agama menjalankan tugasnya.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam Pas. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya pada Perhimpunan Agung Umno 2013, di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), hari ini.

Sehubungan itu, Fahmi turut menggesa Ahmad Zahid supaya menarik balik kenyataan beliau itu.