Ahad, 1 Disember 2013

Kenaikan gaji Selangor bantu banteras rasuah, kata Mat Sabu

OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA





Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) menyokong tindakan kerajaan negeri Selangor menaikkan gaji anggota pentadbir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri tersebut kerana menurutnya ini dapat membantu menghapuskan amalan rasuah di kalangan wakil rakyat.

Katanya, rakyat dikelirukan dalam isu kenaikan gaji ini oleh media  walaupun ia merupakan satu keperluan bagi wakil-wakil rakyat.

“Wakil rakyat perlu dididik untuk menentang rasuah. Seperti yang berlaku di Singapura di mana elaun ahli-ahli Parlimen mereka begitu tinggi bahkan mengatasi beberapa negara-negara Eropah.

“Tetapi indeks rasuah di Singapura seperti yang didedahkan Transparency International, 9.5/10 iaitu hampir-hampir tiada rasuah,” katanya kepada The Malaysian Insider apabila ditemui malam tadi.

Menurut Mohamad, di Singapura tidak berlaku kebocoran dan pembaziran dalam perbelanjaan kerana wang pembayar cukai diuruskan dengan baik.

Menurut bekas ahli Parlimen selama tiga penggal itu, ketika menjadi wakil rakyat, beliau dan rakan-rakan daripada pembangkang lain seringkali ke Pejabat Kewangan Parlimen pada hujung bulan untuk bertanyakan tentang kemasukan elaun mereka.

“Saya dapati kebanyakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak peduli hal kemasukan elaun dan sebagainya kerana mereka mempunyai wang daripada pelbagai sumber lain,” katanya.

Katanya, kenaikan gaji dan elaun di Selangor tidak akan mengurangkan banyak wang simpanan negeri kerana jika kebocoran dan ketirisan dapat dikawal, ia akan menjimatkan lebih banyak wang pembayar cukai.

“Seperti wang PPRT yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah digunakan untuk projek penternakan ikan emas. Penyalahgunaan wang PPRT diberikan kepada orang yang berada bukan kepada orang miskin,” katanya merujuk kepada Program Pembangunan Rakyat Termiskin.

“Elaun Adun khasnya, sebelum dinaikkan hanya setaraf dengan guru besar dan kadang-kadang lebih rendah daripada guru besar di sekolah-sekolah yang lebih besar.”

Semalam Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Adun Selangor daripada parti itu akan menyumbang RM1,000 sebulan daripada gaji mereka, selepas dikecam pelbagai pihak termasuk pimpinan tertinggi parti itu.

Beliau berkata, jumlah berkenaan atau 20% daripada keseluruhan kenaikan gaji yang diterima akan disalurkan kepada program pendidikan di bawah Tabung Pendidikan Keadilan Anak Selangor.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis meluluskan kenaikan gaji 56 anggotanya berkuatkuasa Januari 2014, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada 22 November bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75% daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak.

Tindakan kerajaan negeri Selangor itu menyebabkan ramai pihak mengkritik mereka termasuk Pengerusi PKR Selangor Mohamed Azmin Ali dan Anwar.

Pulau Pinang dijangka mengikut jejak langkah Selangor memberi Adun dan exco kerajaan negeri kenaikan gaji melebihi 80% meskipun kenaikan itu tidak setinggi yang diumumkan kerajaan Selangor, Rabu lalu.

Dijangkakan kenaikan gaji itu akan diumumkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di penghujung mesyuarat DUN pada 17 Disember.

Jika pindaan diluluskan, gaji semua 40 Adun akan dinaikkan kepada RM6,000 berbanding sekarang RM4,112.79.

Mereka juga akan menikmati elaun yang lebih tinggi daripada RM2,000 kepada RM5,500 termasuk elaun khas RM1,500, elaun pemandu RM1,500, pengangkutan dan lain-lain RM1,000 serta elaun perumahan RM500.

Kenaikan itu bermakna Adun akan menikmati gaji kasar RM11,500 sebulan yang merupakan kenaikan 88.13%.

Kertas cadangan kenaikan gaji itu telah pun diletakkan di atas meja semua Adun Pulau Pinang. –

Tiada ulasan: