Sabtu, 28 Disember 2013

Jalan kaki ke Putrajaya bantah insinerator Kepong, 23 Feb depan

Ainuddin Othman

kti


KUALA LUMPUR : Kecewa memorandum ditolak Perdana Menteri, Jawatankuasa Bertindak Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) menganjurkan Megawalk 2.0, iaitu berjalan kaki dari Kepong ke Putrajaya pada 23 dan 24 Februari 2014.

“Pada 23 Februari, kami akan mula berjalan sebelah pagi ke Putrajaya. Kami jangka perjalanan ini sepanjang 45km dan sampai ke Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, pada 24 Februari.

“Seterusnya, KTI akan menyerahkan Memorandum Tak Nak Insinerator 2.0 kepada Perdana Menteri,” kata pengerusi KTI, Isaiah Jacob dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata KTI akan mengadakan ceramah-ceramah kesedaran terhadap 3R dan insinerator di kawasan Selayang, Batu, Kepong dan Segambut sepanjang bulan Disember 2013 hingga Februari 2014.

“Kami ingin memberikan maklumat terkini mengenai keburukan membina Loji Pembakar Sampah (Insinerator) berbanding dengan Loji Pelupusan Sampah (Landfill),” katanya.

KLTI

Isaiah berkata, pengoperasian insinerator memerlukan pakar dan pekerja berpengalaman untuk mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Laporan Ketua Audit Negara 2012 membuktikan kerajaan tidak ada pakar-pakar secukupnya untuk mengoperasikan insinerator,” katanya.

Menurutnya, kos pengurusan insinerator lebih mahal RM25.40 juta daripada pengurusan sekarang.

“Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor 26 November lalu mengakui kenaikan mendadak cukai pintu di Kuala Lumpur berkaitan dengan pengurusan sampah,” ujarnya.

“Jikalau perkara-perkara yang senang seperti tersebut pun tidak dapat diselesaikan, bagaimana hendak mengoperasikan insinerator yang dikatakan sangat canggih itu?” soalnya.

Tiada ulasan: