Selasa, 17 Disember 2013

Elak naik kadar tol lebuh raya laluan utama

SINAR HARIAN


Kenaikan tol pelengkap pakej penderaan  
 Gambar hiasan


ALOR SETAR - Pemuda Gerakan Kedah menyarankan kerajaan berbincang dengan syarikat konsesi lebuh raya agar tidak menaikkan kadar tol untuk lebuh raya yang menjadi laluan utama.
     
Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, daripada 13 lebuh raya yang termasuk dalam senarai semakan semula itu, ada beberapa yang menjadi laluan utama pengguna dan sebarang kenaikan pasti akan membebankan.
     
"Jangan dinaikkan kadar tol di lebuh raya berkenaan...kerajaan bayar sedikit pampasan kepada syarikat konsesi terlibat. Laluan tersebut dah jadi jalan utama jadi syarikat konsesi sudah mendapat keuntungan," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
     
Beliau berkata, walaupun Pemuda Gerakan memahami kenaikan kadar tol itu tidak dapat dielak, seboleh-bolehnya perlu dipertimbang alternatif lain demi kebajikan rakyat.
     
Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun depan berdasarkan perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.
     
Sementara itu, sebuah akhbar pula melaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1.
     
Tambah Keng Liang, syarikat konsesi lebuh raya juga tidak wajar terlalu mementingkan keuntungan dan mereka perlu menjalankan tanggungjawab sosial kepada rakyat.
     
"Kerajaan yang memberikan projek kepada syarikat konsesi lebuh raya ini jadi kerajaan adalah bos mereka. Disebabkan itu kerajaan perlu berbincang dengan mereka demi kebaikan rakyat," katanya yang turut menyarankan kerajaan menyenarai hitam syarikat yang enggan berbincang.
     
Sementara itu, Keng Liang meminta pihak polis dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) bekerjasama dalam membanteras kes kecurian meter air yang semakin berleluasa dan meningkat di daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena sejak kebelakangan ini.
     
"Kami cadangkan pihak polis dan Sada cari siapa yang membeli semua meter air yang dicuri ini dan hadapkan mereka ke muka pengadilan. Sada juga perlu mempunyai pelan alternatif, sebagai contoh memasang meter air di dalam kawasan pagar rumah," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: