Wan Ahmad Wan Omar


SHAH ALAM – [VIDEO] Berkhidmat selama 16 tahun bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah satu tempoh yang memang memenatkan mental, kata Timbalan Pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang bakal bersara esok.

Beliau bersara wajib selepas memegang jawatan sebagai timbalan pengerusi sejak 17 Disember 2004.

“Selama 16 tahun itu, mental memang penat. Semangat itu tetap ada... kuat tapi daripada segi psikologi dan mental... penat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, hari ini.

Berkongsi mengenai pengalamannya, beliau akui pilihan raya umum pada tahun 2004 adalah yang paling aman jika dibandingkan pilihan raya selepas itu.

“Semasa zaman saya, PRU 2004 paling aman. Ketika itu Perdana Menteri bertukar daripada Tun Mahathir kepada Tun Abdullah. Negara berhadapan dengan perubahan pucuk pimpinan.

“Proses pilihan raya itu berjalan aman dan tidak timbul masalah besar. Saya rasa, rakyat ketika itu sudah melihat perubahan,” katanya.

Menurut beliau, PRU13 merupakan cabaran terhebat buat SPR apabila pergolakan berlaku di semua peringkat.

“Kemenangan itu (pembangkang), pertambahan kerusi di Parlimen, penglibatan generasi baru, kewujudan media baru dan penglibatan pihak luar negara yang mahu melihat perubahan negara kita.

“Ia membuatkan PRU13 menjadi begitu mencabar kepada SPR,” katanya.