Khamis, 28 November 2013

Selangor tawar premium tanah RM1 untuk badan kebajikan

Oleh : NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM  : Selangor hanya mengenakan bayaran premium tanah RM1 sahaja kepada syarikat atau badan yang menjalankan aktiviti perniagaan untuk kebajikan di atas tanah yang dimiliki.

Premium RM1 dikenakan kepada badan kebajikan bagi tujuan galakan dan memudahkan organisasi terbabit menjalankan aktiviti masing-masing.

sidang dun 21-11-13 - 2

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, hal itu berbeza dengan perniagaan lain yang menjalankan aktiviti perniagaan demi meraih keuntungan di atas tanah komersial.

“Kita tidak boleh beri diskaun premium tanah secara melulu tetapi perlu ada garis panduan tertentu, kalau tidak semua pihak mahu diskaun.

“Syarikat dan badan yang menjalankan aktiviti kebajikan atau perniagaan yang keuntungannya untuk kebajikan masyarakat Selangor seperti untuk orang kelainan upaya (OKU), maka kita berikan premium sebanyak RM1 sahaja,” katanya ketika menjawab soalan Gan Pei Nei (PKR-Rawang).

Abdul Khalid menjelaskan, bayaran penuh akan dikenakan jika pihak yang ditawarkan pemilikan terbabit menjual tanah kediaman itu ketika menyentuh isu premium sebanyak RM1,000 yang dikenakan terhadap pihak yang ditawarkan pemilikan tanah kediaman.

“Namun, jika pemilik menukar hak milik tanah kepada anak atau waris, tiada sebarang bayaran dikenakan,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: