YAN - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan berusaha mendapatkan kuota bersesuaian bagi membolehkan anggota polis bakal bersara membeli rumah yang selesa daripada projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
  
Katanya, beliau telah meminta projek PRIMA memberi keutamaan kepada pegawai dan anggota polis yang akan tamat perkhidmatan kerana mahu mereka memiliki kediaman sendiri ketika bersara.
  
"Ini (secara dasar) telah dipersetujui kerajaan. Mudah-mudahan kita akan dapat kuota tertentu. Saya tidak mahu anak-anak buah saya dalam PDRM (Polis Diraja Malaysia) bila bersara tidak mempunyai rumah," katanya ketika berucap sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Yan hari ini.
  
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata walaupun pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau ketika ini berjalan dengan aman, beliau mahu PDRM bersiap siaga ketika tempoh berkempen hampir tamat menjelang hari pengundian Isnin ini.
  
Katanya, mengikut laporan yang diterima, PRK kali ini adalah antara yang teraman dan beliau berharap keadaan itu berterusan sehingga hari pengundian serta tiada provokasi berlaku.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada anggota polis yang bertugas kerana berjaya memastikan PRK Dun Sungai Limau kekal aman sehingga kini.
  
"Dari laporan yang saya terima, ini (adalah) pasukan terbaik dalam banyak-banyak PRK. Dan untuk itu saya ucapkan tahniah kepada semua yang bertugas dengan penuh dedikasi," katanya.
  
Ahmad Zahid berkata, bagi menzahirkan penghargaan itu, beliau akan berusaha memastikan petugas polis diberi elaun tambahan sepanjang bertugas di sini dan perkara itu mampu direalisasi berikutan terdapat penjimatan kos yang agak tinggi daripada bajet penginapan anggota keselamatan berkenaan.
  
"Saya akan memohon agar kita diberikan elaun kemudahan bertugas di luar kawasan... walaupun tugas kita semua adalah 24/7... tetapi kita tidaklah mendesak. Tetapi kalau diberi elaun, alangkah bagusnya untuk kita.
  
"Jadi, kali ini kos kita kurang...dan dari penjimatan itulah kita minta elaun dibayar untuk kita semua," katanya sambil berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secepat mungkin.
  
Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak, yang juga bekas Menteri Besar Kedah, pada 26 September lepas. - Bernama