Khamis, 28 November 2013

Pulau Pinang minta Kerajaan Pusat timbang pembesaran LTAPP


lge 3


GEORGE TOWN: Disebabkan pertambahan kedatangan pelancong ke Pulau Mutiara amat memberangsangkan dan dijangka mencapai 5.5 juta menjelang akhir tahun ini, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang meminta Kerajaan Pusat menimbangkan agar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) diperbesarkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata beliau sudah menghantar surat kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Selasa lalu, supaya menimbang pembesaran LTAPP dengan satu ‘runway’ baru bagi menampung pertambahan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Katanya, kedatangan pelancong asing dan tempatan ke Pulau Pinang meningkat daripada lapan hingga sembilan peratus pada 2012 kepada 14 peratus pada Oktober lalu membabitkan seramai 4.4 juta orang dan jumlah itu dijangka bertambah antara 5.2 dan 5.5 juta orang menjelang akhir tahun ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, setakat ini LTAPP hanya mampu menampung kapasiti pengguna seramai lima juta orang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang bimbang jumlah pelancong yang dijangka terus meningkat lebih 10 peratus tahun demi tahun, LTAPP tidak mampu menampung jumlah kedatangan pelancong yang ramai dan akan menyebabkan kesesakan serta keadaan kurang selesa.

“Tambahan pula ia akan mencemarkan imej negara dan negeri ke peringkat antarabangsa jika Kerajaan Pusat tidak membesarkan LTAPP atau membina lapangan terbang baru negeri itu kerana keadaan di lapangan itu kurang memuaskan setiap kali hujan,” katanya merujuk kepada surat yang dihantar kepada Hishammuddin bertarikh 26 November 2013.

Menurut Guan Eng, kawasan tanah di sekitar LTAPP adalah mencukupi untuk pembesaran lapangan terbang itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedia berunding dengan Kementerian Pengangkutan mengenai perkara itu.

“Saya juga sudah menulis surat kepada Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah mengenai masalah banjir kilat di LTAPP pada setiap kali hujan lebat.

“Bukan itu sahaja, malah tempat letak kereta LTAPP juga dipenuhi air akibat hujan lebat, kemungkinan besar kerana sistem perparitan yang tidak sempurna,” tambahnya.

Menurutnya, memandangkan LTAPP adalah antara lapangan terbang utama negara dan Pulau Pinang dan menjadi destinasi pilihan pelancongan, beliau berharap Datuk Seri Hishammuddin mengambil tindakan segera.

Katanya, kegagalan mengatasi masalah ini akan memberikan reaksi negatif kepada pengguna serta menjejaskan imej Negeri Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: