Pengusaha restoran teraniaya  
Ithnin (kiri) dan Adli menunjukkan gambar beberapa kedai yang berniaga di tepi bangunan, namun tiada tindakan diambil MBMB.


BANDARAYA MELAKA - Pengusaha sebuah restoran Bumiputera di bandar ini meminta jasa baik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meluluskan segera permohonan lesen perniagaannya.

Ithnin Ahmad, 66, yang mengusahakan Restoran Barkat Roti John Asli dan Ayam Golek mendakwa sukar mendapat lesen sehingga dia dikompaun penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada 25 Oktober lalu, biarpun proses rayuan dilakukan 7 Oktober lalu.

Menurutnya, pada 24 April lalu, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perlesenan MBMB menolak rayuan dan mengarahkannya memecah struktur binaan kekal di bahagian belakang, selain menolak papan iklan di dinding bangunan.

Dia yang 35 tahun berniaga roti john sudah membelanjakan RM200,000 mengubahsuai restoran itu selepas berpindah dari Cheng untuk mengembangkan perniagaan.

Malah, katanya, dia turut diminta mengaku kesalahan dan merobohkan bahagian yang ditambah sebelum dibenarkan memperoleh lesen perniagaan sementara.

“Lesen perniagaan ini dipohon lebih kurang sebulan sebelum memulakan perniagaan Mei lalu tetapi ditolak.

“Bukan saya membelakangkan undang-undang tetapi saya masih dalam proses rayuan. Pada masa sama saya juga terpaksa meneruskan perniagaan kerana perlu membayar sewa dua unit kedai sebanyak RM2,500 selain gaji pekerja,”

"Saya merayu sekali lagi kepada Datuk Bandar, Datuk Zainal Abu tetapi masih belum mendapat maklum balas," katanya semasa ditemui kedai berkenaan di Taman Bachang Utama, di sini, semalam.

Ithnin berkata, struktur binaan kekal di bahagian belakang untuk mencuci pinggan mangkuk dan segala kotoran ditapis menerusi dua penapis yang disalurkan ke Indah Water tanpa mengganggu aliran longkang.

Menurutnya, tong gas dan tangki penapis air turut diletakkan di bahagian belakang sebagai langkah keselamatan dan bertujuan menjaga tahap kebersihan restoran.

Sementara itu, anaknya, Mohd Adli turut berasa terkilan terhadap segelintir pegawai MBMB tidak menyokong inspirasi Ketua Menteri untuk membantu peniaga Bumiputera.

“Sepatutnya mereka bantu beri cadangan kepada peniaga kecil bagaimana untuk baiki perniagaan, bukan mengarah pecah itu ini tanpa fikirkan ia semua adalah modal," katanya.

“Akibat masalah ini, peniaga akan teraniaya," katanya.