Jumaat, 29 November 2013

PAS Wilayah gerak kempen tolak kenaikan cukai DBKL

azmi 


KUALA LUMPUR: Rakyat khususnya warga kota diminta tidak berasa selesa dengan pengumuman kerajaan untuk menangguhkan kenaikan cukai pintu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi berkata, penduduk sebaliknya perlu mengambil peluang untuk mengadakan bantahan agar cukai pintu tidak dinaikkan.

"Pengumuman penangguhan kenaikan kadar cukai pintu bukan berita baik untuk rakyat jadi kita jangan keliru.

"Menteri umum untuk tangguhkan sahaja, lambat laun akan laksanakan juga," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa sedang mengadakan Kempen 'Jom Bantah Kenaikan Cukai Pintu' dengan mengumpul tandatangan penduduk untuk diserahkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Selain itu katanya, contoh surat bantahan juga akan diedarkan kepada penduduk supaya mereka dapat menyediakan surat bantahan kepada DBKL.

"Bantahan perlu dilakukan secara bertulis jadi kita edarkan contoh surat bantahan kepada penduduk dan kita juga minta penduduk isi nama, alamat dan nombor akuan cukai pintu sebelum ini untuk diserahkan kepada DBKL.

"Kita tak ada banyak masa kerana tarikh akhir bantahan sehingga 17 Disember. Jadi pusat khidmat perlu bergerak segera termasuk buka kaunter di pasar malam dan pasar pagi," kata bekas calon Parlimen Titiwangsa pada PRU13 lalu.

Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J. Loga Bala Mohan berkata penangguhan itu diputuskan bagi membolehkan sesi pendengaran bantahan dapat dilaksanakan bermula Januari hingga Mac depan.

Warga kota bagaimanapun katanya, masih boleh mengemukakan bantahan atau aduan seperti mana yang ditetapkan iaitu sehingga 17 Disember.

Tambah Ahmad Zamri lagi, cadangan kenaikan ini akan membebankan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Saya katakan, inilah pakej hadiah kemenangan BN untuk rakyat selepas menang PRU13. Cukai pintu mahu dinaikkan, tahun depan tarif elektrik pula akan dinaikkan.

"Isu ini isu rakyat, melangkaui isu politik jadi saya minta semua pihak memainkan peranan untuk menjayakan bantahan kita," katanya.

Tiada ulasan: