PASCA PRU


SHAH ALAM – Keputusan PRU13 yang lalu membuktikan prestasi Pas tidak berkembang dalam gabungan PR, kata penganalisis politik.

Pada PRU12, Pas menang 23 kerusi namun hanya mendapat 21 kerusi pada pilihan raya lalu.

Prof Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan Pas lebih baik berjuang sendirian atau bersama Umno berbanding duduk dalam PR bersama DAP dan PKR.

Ia sekali gus menepis kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menyebut Pas tidak mampu berjuang sendirian di mana kenyataan itu disokong Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Pada mulanya mereka kena lihat Pas nampak berkembang daripada segi apa? Kalau daripada segi pengaruh politik, saya rasa mungkin pada PRU12 ya. Pas agak mendapat sambutan daripada orang Melayu.

“Tetapi pada PRU13, sokongan orang Melayu untuk Pas merosot peratus. Ia diakui sendiri Ketua Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda Pas baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan pengurangan kerusi dan kehilangan dua negeri jajahan Pas, Kedah dan Perak.

“Pada PRU12, Pas menang 23 kerusi tapi PRU13, hanya 21 kerusi. Itu tak berkembang. Sepatutnya kekal atau bertambah.

“Kemudian, pada PRU12, Pas dapat menawan Perak dan Kedah. Tapi sebelum PRU13 pun, Perak sudah terlepas pada BN dan baru-baru ini, Kedah pula terlepas kepada BN.

“Jadi, berkembang apa? Saya melihat dari sudut itu. Kalau nak lihat dari sudut sensasi, pidato dan sebagainya, mereka menang lah,” katanya.

Beliau menekankan bahawa Pas tidak akan maju selagi bersama PR ekoran tiada toleransi yang ditonjolkan DAP dan PKR.

 “Saya percaya, Pas tak akan berkembang kalau beginilah sikap DAP dan PKR. Pas tak akan maju bersama mereka kecuali PKR dan DAP ini ada sikap toleransi. Saya rasa Pas boleh maju untuk berlawan dengan Umno tapi jika begini sikapnya, payahlah.

“Untuk Pas maju dan berkembang hanya dua perkara. Sama ada berjuang bersendirian tanpa memasuki PR. Silap hari bulan, Umno pun sokong. Ataupun Pas melakukan mukabalah atau muzakarah dengan Umno. Itu sahaja,” katanya.

Sementara itu menurut Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, Pas tetap boleh berkembang walau bersama siapa tetapi bergantung pada situasi.

“Jika Pas dan Umno bersama, mungkin akan tetap berlaku persaingan antara mereka. Tetapi jika ada kompromi untuk selesaikan isu melibatkan kerusi, kedudukan jawatan di kementerian dan sebagainya, saya rasa tak ada masalah. Pas juga boleh berkembang melalui BN.

“Cuma, apabila melihat konteks BN-PR, PR akan merasakan mereka lebih kuat jika Pas bersama. Tapi BN pula merasakan mereka akan lagi bertambah kuat jika Pas dan BN bekerjasama. Jadi, sebenarnya, mana-mana pun Pas boleh berkembang bergantung pada keadaan semasa,” katanya.