Jumaat, 29 November 2013

Nafi kenyataan Timbalannya, Tg Adnan bertegas cukai pintu naik

Harakahdaily 


KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan kenaikan kadar baharu cukai taksiran pintu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan ditangguh sebaliknya berkuat kuasa pada 1 Jan depan.
   
Beliau berkata mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan kenaikan itu boleh mengemukakan bantahan atau rayuan kepada DBKL sebelum 17 Dis ini.
   
Bagaimanapun, Tengku Adnan menjelaskan bahawa pembayar cukai boleh menangguhkan pembayaran sehingga bulan Mac 2014, iaitu selepas DBKL mendengar bantahan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.
   
"Kami boleh menangguhkan pelaksanaannya kerana pada 17 Dis, kami akan mendengar semua bantahan dan Datuk Bandar serta panelnya akan mengadakan satu prosiding yang dijangka memakan masa sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebahagian Jalan Segambut yang dinaik taraf di sini, semalam.
   
Kelmarin, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J. Loga Bala Mohan memaklumkan persidangan Dewan Rakyat bahawa kenaikan kadar baharu cukai pintu DBKL akan ditangguh sehingga Mac tahun depan bagi membolehkan sesi pendengaran bantahan dilaksana mulai Januari depan, yang dianggar mengambil masa tiga bulan.

Tengku Adnan juga berkata kajian semula kadar baharu cukai berkenaan akan dibuat berdasarkan kadar sewaan dan bukan mengikut nilai hartanah kerana ia lebih adil selain memberi kebaikan kepada rakyat.
   
Beliau berkata tindakan itu memberi keuntungan kepada rakyat kerana cukai pintu akan ditaksir berdasarkan nilai sebenar hartanah.
   
"Saya menaikkan kadar sewaan (cukai pintu). Bagi tempoh 21 tahun lepas, mereka mungkin mengutip sewa sebanyak RM6,000 (sebulan), dan kini dengan kadar baharu cukai pintu, mereka boleh menyewakan (hartanah mereka) pada kadar lebih tinggi, mungkin RM7,000 (sebulan). Jadi, mereka tahun nilai sebenarnya," katanya.
   
Tengku Adnan turut memperjelas kaedah atau struktur cukai mengikut kadar sewaan hartanah.
   
"Katakan anda mendapat sewaan sebanyak RM500, anda kali dengan 12 dan anda dapat RM6,000. Kami kenakan caj sebanyak enam peratus bagi jumlah itu. Katakanlah kadar sewaan anda ialah RM1,000 dan bukan RM500 sebulan, jadi RM1,000 akan jadi RM12,000 maka kami akan caj enam peratus bagi jumlah ini," katanya.
   
Beliau juga berkata DBKL mengambil beberapa langkah seperti menghantar petugas melakukan pemantauan, menggunakan ejen hartanah, membuat iklan dan kaji selidik melalui telefon bagi menentukan keberkesanan kajian semula kadar cukai pintu mengikut kadar sewaan semasa. - Bernama

Tiada ulasan: