VIDEO l 3:57 minit

 
Anggota parlimen pembangkang hari ini membangkitkan semula isu kontrak pembinaan kompleks kem tentera RM256 juta di Skudai, Johor yang terbengkalai selepas 16 tahun kontrak dimeterai.

NONEMembangkitkan penemuan laporan audit negara sebelum ini, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) membangkitkan perkara itu kerana bimbang masalah berkaitan menyebabkan kem itu terpaksa dipindahkan.

"Saya tak tahu apa akan jadi sekarang jika pemilik baru tanah itu minta kem-kem itu untuk keluar dari tanah itu.

"Mereka bukan ada kem baru pun," katanya pada sidang media di perkarangan Parlimen hari ini.

Menghuraikan masalah itu, bekas naib presiden PAS itu berkata, tanah yang diberikan sebagai imbuhan kepada konsortium pemaju itu digadaikan kepada sebuah syarikat kewangan.

Kem yang sepatutnya dikenali sebagai kompleks briged ketujuh, sepatutnya menjadi penempatan baru untuk anggota tentera dari Tebrau, Majidee dan kem Kluang.

Menurut Mahfuz, Kementerian Pertahanan pada tahun 1997 memeterai kontrak dengan konsortium itu dan menganugerahkan tanah yang menjadi tapak kem Majidee dan Tebrau sebagai ganti kepada pembinaan kompleks baru itu.

Namun, dakwanya, konsortium itu yang menghadapi masalah kewangan memajakkan tanah tersebut untuk mendapat pinjaman berjumlah RM465 juta yang akhirnya tidak juga digunakan untuk menyiapkan kompleks itu.