Rabu, 27 November 2013

MB umum 1/2 bulan gaji untuk kakitangan Kerajaan Selangor

Oleh Nazli Ibrahim


SHAH ALAM :  Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan bonus setengah bulan gaji kepada semua kakitangan kerajaan Selangor.

Membuat pengumuman itu pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau berkata bayaran akan dibuat pada Januari 2014 melibatkan sejumlah RM14,821,252 kepada 15,643 kakitangan.

DNS

Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang), berkata pemberian bonus itu ekoran hasil usaha keras kakitangan awam sehingga berjaya mengutip hasil melebihi unjuran Kerajaan Negeri.

“Hasil negeri yang dikutip setakat 27 November 2013 berjumlah RM1,899,018,572 dan jumlah ini 16 peratus lebih dari yang dianggar.

“Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada kakitangan negeri yang berusaha keras untuk Selangor. Dan, dengan ini, saya mengumumkan setengah bulan bonus kepada semua 15,643 kakitangan Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna pada 2013, kakitangan Kerajaan Negeri mendapat satu setengah bulan termasuk bonus Hari Raya satu bulan yang kita beri pada sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kakitangan awam di Selangor supaya secara beransur-ansur menerima konsep kenaikan gaji dan pemberian bonus berdasarkan kecemerlangan prestasi.- FZL

Tiada ulasan: