Sabtu, 30 November 2013

Mangsa Menara Umno nahas bukan kecuaian


 

Mahkamah koroner hari ini memutuskan bahawa peniaga kecil Lim Chik Aik yang dipercayai menemui ajal selepas keretanya dihempap penebat kilat Menara Umno di Jalan Macalister, mati
semata-mata nahas bukan kecuaian (misadventure).

Lim, 44, meninggal dunia selepas struktur konkrit itu terjatuh ke atas jalan berkenaan sewaktu ribut petir pada 13 Jun lalu, yang juga mengorbankan dua lagi.

Usaha kerajaan negeri dan operasi menyelamat gagal menemui mayat Lim yang dipercayai tenggelam ke dasar runtuhan tersebut dan usaha menjejakinya ditamatkan empat hari kemudian.

Ketika menyampaikan keputusannya, Koroner Khairul Anuar Abdul Halim berkata mangsa yang dikenali Chin Aik, meninggal dunia antara 6.45 dan 6.50 petang pada 13 Jun akibat nahas bukan kecuaian sebagai keputusan ekoran runtuhan struktur itu.

Khairul Anwar berkata sijil kematian Lim akan dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab kepada keluarga mangsa. [Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan, balu Lim, Lee Chai Song, 48, dan ibu bapa mangsa, Tian Chor, 73, dan Ang Kim Looi, 70, hadir di mahkamah hari ini. Kemudiannya, Lee dengan linangan air mata
berkata beliau akan memohon sijil kematian itu.
   
Khairul Anuar berkata kes sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini kerana tiada mayat ditemui tetapi laporan dibuat mengenai kehilangan Lim selepas dia keluar rumah untuk mengambil anak perempuannya di sekolah.

Inkues itu yang bermula 2 September, diadakan untuk mengesahkan kematian Lim kerana mayatnya tidak ditemui walaupun beberapa cebisan keretanya dikeluarkan daripada kawasan runtuhan itu.
   
Sebanyak 24 saksi dipanggil memberi keterangan, termasuk lawatan ke tapak runtuhan di hadapan Menara Umno di Jalan Macalister
dan melihat cebisan kereta itu.
   
Khairul Anuar dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit dan pegawai pengendali Suhaimi Ibrahim. Peguam Gobind Singh Deo bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga Lim.
   
Insiden pada Jun itu itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat itu.

Tiada ulasan: