Sabtu, 23 November 2013

Keputusan pemilihan PAS diumum petang ini

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Perwakilan PAS membuang undi memilih barisan pimpinan PAS bagi sesi 2013/2015 semalam. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 23 November, 2013.Perwakilan PAS membuang undi memilih barisan pimpinan PAS bagi sesi 2013/2015 semalam. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 






















 Keputusan pemilihan PAS dijangka diumumkan petang ini selepas pengiraan undi hanya akan dimulakan pagi ini selepas berlakunya kesilapan dalam kertas undi untuk jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat semalam, kata sumber parti itu.

Menurut sumber itu, Jawatankuasa Pemilihan mengambil keputusan untuk membuat pengiraan pagi ini selepas pengundian untuk jawatan AJK PAS Pusat semalam terpaksa dibatalkan berikutan masalah teknikal.

Pengundian untuk AJK PAS Pusat terpaksa dijalankan semula pagi ini ekoran kesilapan dalam kertas undi, tetapi pengundian untuk jawatan Timbalan Presiden dan tiga kerusi Naib Presiden akan masih diguna pakai.

"Kita akan memulakan pengiraan serentak esok selepas pengundian jawatankuasa dilakukan," kata sumber itu kapada The Malaysian Insider lewat malam tadi.

Kira-kira 1,300 perwakilan PAS dari seluruh negara mengundi semalam untuk memilih Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan AJK PAS Pusat.

Selepas pengundian berjalan, pemimpin PAS meramalkan Mohamad Sabu berada di hadapan untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pertembungan sengit bersama pencabarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Untuk jawatan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hampir pasti menang namun berlaku persaingan sengit antara tiga calon iaitu Datuk Husam Musa, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Sementara seorang lagi calon Naib Presiden, Datuk Abu Bakar Chik pula dikatakan hampir pasti kalah dalam perebutan jawatan itu.

Pada Khamis, Suhaizan Kaiat dipilih menjadi Ketua Pemuda PAS selepas diumumkan sebagai pemenang pada Muktamar Dewan Pemuda PAS, satu keputusan yang mengejutkan kerana ramai pemerhati menjangkakan Kamarulzaman Muhammad yang mendapatkan sokongan golongan pro ulama akan menang.

Suhaizan mendapat 320 undi sekali gus menewaskan dua pencabar lain, Kamarulzaman yang mendapat 304 undi dan seorang lagi calon Zulhazmi Sharif (tujuh undi).

Sementara Timbalan Ketua Pemuda PAS pula dimenangi Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menewaskan bekas Naib Ketua Pemuda, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob.

Muhammad Khalil merupakan anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagi sayap Wanita, Siti Zailah Yusof berjaya mengekalkan kerusinya sebagainya Ketua Dewan Muslimat PAS setelah berjaya mengalahkan pencabarnya Nuridah Salleh.

Beliau mendapat undi sebanyak 468 undi berbanding pencabarnya mendapat 189 dengan kelebihan sebanyak 279 undi.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud juga berjaya mengekalkan kerusi setelah mengalahkan pencabarnya Dr Najihatul Solehah apabila mendapat 429 undi berbanding pencabarnya yang mendapat 229 undi.

Tiada ulasan: